HUKUM KEPUTIHAN WANITA
PANDUAN HUKUM: HUKUM KEPUTIHAN WANITA
Ditulis oleh : Alyasak bin Berhan (Pegawai Agama Negeri Sembilan)
Terdapat perbezaan antara kelembapan faraj (air basahan faraj) dan cecair keputihan sepertimana berikut;
1. Kelembapan atau basahan faraj (رطوبة الفرج) terhasil daripada cecair jernih iaitu antara warna air mazi dan peluh. Dikatakan bahawa basahan ini disebabkan oleh lembapan peluh yang datang dari had zahir faraj wanita. Bandingannya adalah seperti air liur yang terdapat di dalam mulut manusia. Maka ia menjadikan faraj wanita sentiasa lembap untuk membantu mengelakkan kulit faraj daripada kering dan melekat. Justeru, basahan atau kelembapan faraj yang disebabkan oleh cecair yang datang dari had zahir faraj wanita ini dihukumkan suci dan tidak membatalkan wuduk.
Had zahir faraj adalah had yang sampai kepadanya sekadar hasyafah zakar yang pertengahan panjang (sederhana/normal panjang).
2. Keputihan pula adalah cecair yang datang dari bahagian batin faraj yang keluar seperti air mazi, air wadi dan sebagainya. Menurut penelitian, ia menyerupai gam pekat yang berwarna putih dan kadang-kadang warnanya bercampur ke arah kekuningan atau sedikit hijau. Justeru, keputihan ini adalah najis dan membatalkan wuduk kerana ia keluar dari had batin faraj iaitu tempat yang tidak wajib dibasuh ketika istinjak.
Had batin faraj adalah had yang tidak sampai kepadanya zakar yang pertengahan panjang (sederhana/normal panjang)
Kesimpulannya, cecair atau kelembapan faraj ada yang keluar dari zahir dan ada yang keluar dari batinnya. Oleh itu, hukumnya dibahagikan kepada 3 iaitu;
1) Suci - cecair atau kelembapan yang keluar dari tempat yang diwajibkan basuh ketika istinjak iaitu yang jelas ketika duduk mencangkung (had zahir).
2) Najis - cecair atau kelembapan yang keluar dari batin faraj iaitu tempat yang tidak boleh sampai kepadanya zakar yang pertengahan panjang (had batin).
3) Cecair atau kelembapan yang keluar dari tempat yang tidak diwajibkan basuh ketika istinjak dan tempat yang boleh sampai kepadanya zakar yang pertengahan panjang. Menurut Syeikh Ibn Hajar di dalam Kitab Tuhfah al-Muhtaj, hukumnya adalah suci, manakala menurut Imam al-Nawawi di dalam Kitab al-Majmuk, Syeikh al-Ramli, Syeikh Ibn Hajar di dalam Kitab Syarh al-Irsyad dan al-Khatib al-Syirbini hukumnya adalah najis.
اليسع
Wallahu a‘lam.
Rujukan:
- I‘anah al-Talibin
- Tuhfah al-A‘izza'
- Izalah al-Iltibas
=============================================
sumber : tolibilmi.blogspot.my
Comments
Post a Comment