HUKUM TIDAK BERTEGUR SAPA MELEBIHI 3 HARI

Soalan: Apakah hukum memutuskan silaturrahim?

Jawapan: Dalam hidup, kita mungkin tidak dapat lari dari terjadinya perselisihan atau berkecil hati sesama saudara, sama ada dengan rakan atau sepupu atau pakcik saudara atau lain-lain. Namun setiap perbuatan kita tidak boleh melanggar dari batas-batas dalam Islam. Syarak tidak membenarkan kita memutuskan silaturrahim atau tidak bertegur sapa melebihi dari 3 hari. Para ulamak bersepakat bahawa haram bagi seorang Islam tidak bertegur sapa ke atas saudaranya (sesama Islam) melebihi dari 3 hari, ini berdasarkan nas dari hadis Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam. Namun dimaafkan jika kurang daripada 3 hari.

Walaubagaimanapun, ada pengecualian pada beberapa keadaan. Jika bertegur sapa itu akan menyebabkan agamanya terkorban, atau orangnya zholim sehingga beri mudhorat pada diri atau harta benda kita, maka dibenarkan tidak bertegur sapa dengannya melebihi 3 hari. Namun jika sekadar perselisihan biasa yang tidak beri mudhorat seperti yang dinyatakan, maka berbalik pada hukum asal yakni berdosa tidak bertegur sapa melebihi 3 hari.

● Dari Abu Hurairah RA, Nabi sollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثٍ، فَمَنْ هَجَرَ فَوْقَ ثَلَاثٍ فَمَاتَ دَخَلَ النَّارَ
[(9092) رواه أبو داود (4914) ، وأحمد]

“Tidak dihalalkan bagi seorang muslim tidak bertegur sapa dengan saudaranya melebihi 3 hari. Maka sesiapa yang memutuskan hubungan dengan saudaranya melebihi 3 hari, lalu dia meninggal maka dia masuk ke neraka.” (Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

● Nabi sollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

لا يحل لرجل أن يهجر أخاه فوق ثلاث ليال، يلتقيان فيعرض هذا ويعرض هذا، وخيرهما الذي يبدأ بالسلام
(صحيح البخاري)

"Tidak dihalalkan bagi seorang lelaki tidak bertegur sapa dengan saudaranya melebihi 3 hari, kedua-duanya bertemu tapi seorang berpaling muka dan seorang lagi berpaling muka juga. Dan yang paling baik di antara kedua-duanya adalah yang memulakan mengucap salam." (Riwayat al-Bukhori)

● Nabi sollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

إن أولى الناس بالله، من بدأهم بالسلام
(رواه أبو داود والترمذي)

"Manusia yang paling utama di sisi Allah adalah orang yang memulakan mengucap salam." (Riwayat Abu Daud dan at-Tarmizi)


● Imam an-Nawawi di dalam Syarah Sohih Muslim (16/117) berkata:

باب تحريم الهجر فوق ثلاث بلا عذر شرعي

قال العلماء : تحرم الهجرة بين المسلمين أكثر من ثلاث ليال بالنص وتباح في الثلاث بالمفهوم وإنما عفى عنه في ذلك لأن الآدمي مجبول على الغضب، وسوء الخلق، فسومح بذلك القدر ليرجع ويزول ذلك العارض
(شرح النووي على صحيح مسلم)

"Bab diharamkan tidak bertegur sapa melebihi 3 hari tanpa uzur syar'i:"

"Telah berkata para ulamak : Diharamkan tidak bertegur sapa sesama muslim melebihi 3 hari berdasarkan nas (hadis), namun dibenarkan jika kurang daripada (3 hari) itu. Dan sesungguhnya dimaafkan demikian (jika kurang dari 3 hari) kerana manusia sering terbawa-bawa dengan sifat marah dan berakhlak buruk. Maka dimaafkan dalam kadar (3 hari) tersebut agar hilang rasa permusuhan." [Syarah Sohih Muslim]


● Imam Ibn Hajar al-'Asqolani di dalam Fathul Baari (10/512), menaqalkan perkataan Ibn 'Abdil Bar:

قال "ابن عبد البر": أجمعوا على أنه لا يجوز الهجران فوق ثلاث إلا لمن خاف من مكالمته ما يفسد عليه دينه أو يدخل منه على نفسه أو دنياه مضرة، فإن كان كذلك جاز
(فتح الباری)

Ibn 'Abdil Bar berkata: Ijmak (sepakat ulamak) tentangnya (pengharaman) tidak bertegur sapa melebihi 3 hari, melainkan pada (mereka) yang khuatir jika bertegur sapa dengan seseorang itu akan merosakkan (atau memusnahkan) agamanya sendiri, atau akan membawa keburukan pada dirinya atau beri mudhorat pada hartanya. Maka apabila dengan sebab demikian, ianya dibolehkan (untuk tidak bertegur sapa melebihi 3 hari)." [Fathul Baari]


● Nabi sollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ، وَيَوْمَ الْخَمِيسِ، فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لَا يُشْرِكُ بِاللهِ شَيْئًا، إِلَّا رَجُلًا كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ، فَيُقَالُ: أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا، أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا، أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا
(الموطأ)

"Pintu-pintu syurga dibuka setiap hari isnin dan khamis. Lalu akan diampun semua hambaNya yang tidak melakukan syirik kepada Allah dengan sesuatu apapun. Namun dikecualikan pada orang yang ada perselisihan dengan saudaranya. Dikatakan padanya: Tundalah amalan dua orang ini sehinggalah kedua-duanya berdamai, tundalah amalan dua orang ini sehingga kedua-duanya berdamai, tundalah amalan dua orang ini sehingga kedua-duanya berdamai." (Riwayat Imam Malik dalam al-Muwattho')


Wallahu a'lam

Comments

Popular posts from this blog

LUPA NIAT JAMAK

ZIKIR: ALLAHUMMA AJIRNI MANAN-NAAR