HUKUM PUASA BULAN RAJAB

HUKUM PUASA BULAN RAJAB

Saya sentuh sedikit tentang bulan haram. Di dalam 12 bulan Islam, empat daripadanya dinamakan bulan haram. Bulan haram bermaksud bulan suci yang diharamkan padanya peperangan dan digalakkan melakukan lebih banyak amal kebaikan. Bulan haram yang empat itu adalah Zulqa'idah, Zulhijjah, Muharrom dan Rajab. Telah sabit dari Al-Quran dan hadis tentang kelebihan bulan haram. Melakukan ibadah

dan kebaikan akan mendapat pahala yang berlipat kali ganda, namun jika melakukan maksiat juga akan mendapat dosa yang lebih besar. Umpamanya solat sunat atau berpuasa di bulan Rajab lebih besar pahalanya dari bulan Jamadil Akhir, dan berbohong di bulan Zulhijjah lebih besar dosanya dari bulan Safar. Namun pada bulan-bulan lain juga, segala maksiat tetap haram untuk dilakukan dan segala amal soleh tetap dituntut dilakukan setiap masa.

Allah subhanahu wa ta'ala berfirman: "Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu (dengan melakukan maksiat) dalam empat bulan itu." (At-Taubah : Ayat 36)

Menurut Imam Ibnu Katsir di dalam Tafsir Ibnu Katsir, dosa yang dilakukan dalam bulan-bulan haram (Zulqa'idah, Zulhijjah, Muharrom dan Rajab) menjadi lebih berganda-ganda berbanding bulan yang lain, sama hukumnya sepertimana perbuatan maksiat yang dilakukan di tanah haram yang akan menjadikan dosanya lebih berganda.

Tentang berpuasa di bulan haram pula, ada hadis yang khusus berkaitannya. Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

صُمْ مِنْ الْحُرُمِ وَاتْرُكْ صُمْ مِنَ الْحُرُمِ وَاتْرُكْ صُمْ مِنَ الْحُرُمِ وَاتْرُكْ وَقَالَ بِأَصَابِعِهِ الثَّلاَثَةِ فَضَمَّهَا ثُمَّ أَرْسَلَهَا
(رواه أبو داود)

"Berpuasalah di bulan haram dan tinggalkanlah (sebahagiannya), berpuasalah di bulan haram dan tinggalkanlah (sebahagiannya), berpuasalah di bulan haram dan tinggalkanlah (sebahagiannya)." Baginda mengulanginya tiga kali sambil menggenggam 3 jari Baginda kemudian membukanya. (Riwayat Abu Daud)

Terdapat juga dalil bahawa Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam berpuasa pada bulan Rajab. Dari Sa'id bin Jubir RA:

سَمِعْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا يَقُوْلُ كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُوْمُ حَتَّى نَقُوْلَ لاَ يُفْطِرُ، وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُوْلَ لاَ يَصُوْمُ
(صحيح مسلم)

"Aku mendengar Ibnu ‘Abbas berkata bahawa Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam berpuasa (di bulan Rajab) sehingga kami merasakan beliau tidak pernah berbuka (bermaksud beliau sentiasa berpuasa) di bulan Rajab. Dan beliau juga pernah berbuka (tidak berpuasa) di bulan Rajab sehingga kami merasakan beliau tidak lagi berpuasa di bulan Rajab." (Riwayat Muslim)

Berdasarkan dalil-dalil yang ada, para ulamak berpendapat digalakkan berpuasa sunnah pada empat bulan ini termasuklah bulan Rajab. Bahkan para ulamak seperti Imam an-Nawawi mengatakan berpuasa sebulan penuh dalam bulan-bulan haram (termasuk Rajab) adalah paling afdhal.

● Imam an-Nawawi di dalam al-Majmu' berkata:

قَوْلُهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ" صُمْ مِنَ الْحُرُمِ وَاتْرُكْ" إنما أمره بالترك ; لأنه كان يشق عليه إكثار الصوم كما ذكره في أول الحديث . فأما من لم يشق عليه فصوم جميعها فضيلة
(المجموع شرح المهذب)

“Sabda Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam: 'Berpuasalah di bulan haram kemudian tinggalkanlah'. Sesungguhnya (dalam hadis) Baginda perintahkan dia berbuka (tidak berpuasa sepenuhnya) kerana jika dia puasa berterusan nescaya akan membebankan dirinya, seperti yang disebutkan pada awal hadis. Adapun bagi orang yang tidak merasa berat untuk berpuasa, maka berpuasa penuh (dalam bulan-bulan haram) adalah paling afdhal." [al-Majmu']


Berikut pendapat para ulamak tentang berpuasa bulan Rajab:


● Malam pertama Rajab juga sudah ada kelebihannya. Imam al-Syafi'e Rohimahullah di dalam Al-Umm (1/254) berkata:

وبلغنا أنه كان يقال إن الدعاء يستجاب في خمس ليال في ليلة الجمعة وليلة الأضحى وليلة الفطر وأول ليلة من رجب وليلة النصف من شعبان

"Telah sampai kepada kami, dikatakan bahawa doa yang dimakbulkan adalah pada lima malam, iaitu malam juma'at, malam raya 'Adha, malam raya Fithri, awal malam (pertama) bulan Rajab, dan malam nisfu (pertengahan) Sya'ban." [Al-Umm]


● Imam an-Nawawi di dalam al-Majmu' berkata :

قال أصحابنا : ومن الصوم المستحب صوم الأشهر الحرم , وهي ذوالقعدة وذوالحجة والمحرم ورجب , وأفضلها المحرم. اهـ
(المجموع شرح المهذب)

"Berkata as'habuna (ulamak Syafi'iyyah kami) : Dan puasa (sunnah) yang digalakkan adalah berpuasa pada bulan-bulan haram, iaitu Zulqa'idah, Zulhijjah, Muharrom dan Rajab. Dan yang paling afdhal (antara empat ini) adalah (berpuasa pada bulan) Muharrom." [al-Majmu']


● Imam an-Nawawi di dalam Syarh Sohih Muslim berkata:

وفي سنن أبي داود أن رسول الله صلى الله عليه و سلم ندب إلى الصوم من الأشهر الحرم ورجب أحدها
(شرح النووي على صحيح مسلم)

"Di dalam Sunan Abi Daud menyatakan bahawa Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam memerintahkan puasa (sunnah) pada bulan-bulan haram, dan bulan Rajab termasuk salah satu darinya." [Syarh Sohih Muslim]


● Syeikh al-Ramli di dalam Nihayah al-Muhtaj berkata:

اعلم أن أفضل الشهور للصوم بعد رمضان الأشهر الحرم وأفضلها المحرم ثم رجب خروجا من خلاف من فضله على الأشهر الحرم ثم باقيها وظاهره الاستواء ثم شعبان . اهـ
(نهاية المحتاج شرح المنهاج)

"Ketahuilah bahawa bulan yang paling afdhal untuk berpuasa setelah Ramadhan adalah bulan-bulan haram. Dan yang paling afdhal (antara empat ini) adalah Muharrom, selepas itu bulan Rajab, (dipilih Rajab) kerana keluar dari khilaf (meraikan pendapat) tentang kelebihan Rajab berbanding baki bulan-bulan haram yang lainnya. Namun yang jelasnya, (kelebihan bulan Rajab adalah) sama tarafnya (sepertimana bulan haram yang lain), selepas itu (pula afdal berpuasa pada) bulan Sya’ban.” [Nihayah al-Muhtaj]


● Syeikh Ibn Hajar al-Haitami pernah ditanya tentang perihal seorang ahli faqih yang menghalang orang berpuasa bulan Rajab, faqih tersebut mendakwa semua hadis tentang puasa Rajab adalah maudhu' (palsu). Maka Syeikh Ibn Hajar al-Haitami menjawab persoalan ini di dalam kitabnya al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubro (3/53), beliau berkata:

وأما استمرار هذا الفقيه على نهي الناس عن صوم رجب فهو جهل منه وجزاف على هذه الشريعة المطهرة فإن لم يرجع عن ذلك وإلا وجب على حكام الشريعة المطهرة زجره وتعزيره التعزير البليغ المانع له ولأمثاله من المجازفة في دين الله تعالى
(الفتاوى الفقهية الكبرى)

“Adapun faqih yang menghalang orang berpuasa Rajab adalah satu kejahilan dan bersikap membuta-tuli dalam menetapkan hukum syariat. Sekiranya dia tidak menarik balik perkataannya itu, maka wajiblah bagi hakim syariah menghukumnya dengan hukuman yang berat agar dia tidak mengulangi perbuatannya lagi, dan agar dapat menghalang orang lain yang bersikap semisal seperti dirinya, yang memberi masalah pada agama Allah subhanahu wa ta'ala." [al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubro]

Syeikh Ibn Hajar al-Haitami menambah lagi:

ويوافقه إفتاء العز بن عبد السلام فإنه سئل عما نقل عن بعض المحدثين من منع صوم رجب وتعظيم حرمته وهل يصح نذر صوم جميعه فقال في جوابه :نذر صومه صحيح لازم يتقرب إلى الله تعالى بمثله والذي نهى عن صومه جاهل بمأخذ أحكام الشرع وكيف يكون منهيا  عنه مع أن العلماء الذين دونوا الشريعة لم يذكر أحد منهم اندراجه فيما يكره صومه بل يكون صومه قربة إلى الله تعالى
(الفتاوى الفقهية الكبرى)

Sependapat dengan ini adalah fatwa dari Sultanul Ulamak al-‘Izz bin Abdissalam. Sesungguhnya beliau ditanya tentang apa yang dinaqalkan oleh sebahagian ahli hadis berkenaan larangan berpuasa Rajab dan larangan memuliakan bulan Rajab. Dan adakah sah jika seseorang bernazar berpuasa penuh pada bulan Rajab. Maka beliau (Sultan al-‘Izz) menjawab: “Bernazar untuk puasa Rajab adalah sah dan (amalan itu) boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT. Adapun pendapat yang melarang berpuasa Rajab adalah satu kejahilan dalam menetapkan hukum syarak. Bagaimana boleh dilarang berpuasa padanya sedangkan para Ulama’ mensyariatkannya, dan tidak ada seorangpun dari mereka yang mengatakan makruh berpuasa Rajab, bahkan dikatakan puasa Rajab boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT.” [al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubro]


● Imam al-Mawardi di dalam al-Hawi al-Kabir berkata:

الله تعالى يصب فيه الرحمة صبا ، وسمي أصم ؛ لأن الله تعالى حرم فيه القتال ، فلا يسمع فيه سفك دم ، ولا حركة سلاح وروى عكرمة عن ابن عباس أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : " صيام أول يوم من رجب كفارة ثلاث سنين ، وصيام اليوم الثاني كفارة سنتين ، وصيام اليوم الثالث كفارة سنة ثم كل يوم كفارة شهر
(الحاوي الكبير)

"Allah ta'ala memberikan rahmat pada bulan Rajab. Dan digelarkannya sebagai bulan Asom adalah kerana Allah ta'ala mengharamkan berperang pada bulan tersebut (Rajab), maka tidak didengari padanya pertumpahan darah dan tidak diangkat senjata (untuk berperang) pada bulan tersebut. Ikrimah meriwayatkan dari Ibnu 'Abbas, bahawa Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam bersabda: “Puasa hari pertama pada bulan Rajab

menghapuskan dosa tiga tahun, dan puasa hari kedua menghapuskan dosa dua tahun, dan puasa hari ketiga menghapuskan dosa setahun, kemudian berpuasa setiap hari (pada bulan Rajab) menghapuskan dosa sebulan." [al-Hawi al-Kabir]


● Imam al-Suyuthi di dalam al-Hawi lil-Fatawi menyatakan:

مسألة : في في حديث أنس قال رسول الله صلى الله عليه وسلّم : { إن في الجنة نهراً يقال له رجب ماؤه أبيض من اللبن وأحلى من العسل من صام يوماً من رجب سقاه الله من ذلك النهر } ...وحديث ابن عباس قال رسول الله صلى الله عليه وسلّم : { من صام من رجب يوما  كان كصيام شهر ، ومن صام منه سبعة أيام غلقت عنه أبواب الجحيم السبعة ، ومن صام منه ثمانية أيام فتحت له أبواب الجنة الثمانية ومن صام منه عشرة أيام بدلت سيئاته حسنات } هل هذه الأحاديث موضوعة  ؟
الجواب : ليست هذه الأحاديث بموضوعة بل هي من قسم الضعيف الذي تجوز روايته في الفضائل
(الحاوي للفتاوي)

Masalah: Berkenaan hadis dari riwayat Anas, bahawa Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam bersabda: "Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebuah sungai yang disebut dengan Rajab, airnya lebih putih dari susu dan lebih manis dari madu. Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Rajab nescaya Allah akan memberinya minum air dari sungai tersebut." Juga hadis dari Ibnu 'Abbas, bahawa Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam bersabda: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Rajab sehari, nescaya seperti dia berpuasa sebulan. Barangsiapa yang berpuasa tujuh hari dari bulan Rajab, nescaya ditutup baginya tujuh pintu neraka Jahim. Barangsiapa berpuasa lapan hari, nescaya dibukakan baginya lapan pintu syurga. Barangsiapa berpuasa selama sepuluh hari, nescaya digantikan keburukannya dengan kebaikan." Maka pertanyaan saya, adakah semua hadist ini maudhu' (palsu) ?

Al-Jawab (Imam al-Suyuthi): Hadis-hadis ini bukanlah hadis palsu tetapi ia merupakan bahagian dari hadist dho'if, dan kedua-dua  riwayat itu boleh digunakan untuk fadhail (kelebihan untuk beramal)." [al-Hawi lil-Fatawi]


Bahkan dalam kitab ulamak nusantara juga ada dinyatakan. Antaranya:

● Syeikh Daud al-Fathoni di dalam Bughyatut Thullab berkata:

"Dan setengah daripada yang berulang-ulang (setiap) tahun (untuk berpuasa) iaitu puasa Ash'hurul Hurum iaitu Muharrom dan Rajab dan Zulhijjah dan Zulqa'idah, maka adalah ia (empat bulan itu) yang terlebih afdhal puasa padanya kemudian (selepas daripada) puasa Ramadhan. Dan yang terafdhal (paling utama) daripada yang empat itu (adalah pertama) Muharrom, kemudian (kedua) Rajab, kemudian (ketiga) Zulhijjah, kemudian (keempat) Zulqa'idah, kemudian yang mengiringi bulan Ash'hurul Hurum itu (iaitu kelima) Sya'ban, kerana Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam adalah ia banyak puasa di dalam bulan Sya'ban." [Bughyatut Thullab]


● Syeikh Arsyad al-Banjari di dalam Sabilal Muhtadin berkata:

"Ketahui olehmu bahawasanya bulan yang terafdhal bagi puasa kemudian (selepas daripada) bulan Ramadhan iaitu Ash'hurul Hurum yakni segala bulan haram, yaitu empat bulan: Zulqa'idah dan Zulhijjah dan Muharrom dan Rajab. Dan yang terafdhal (paling utama) daripadanya: (pertama) Muharrom, kemudian maka (kedua) Rajab, kemudian maka (ketiga) Zulqa'idah (dan keempat adalah Zulhijjah)." [Sabilal Muhtadin]


● Syeikh Muhammad al-Fathoni di dalam Matla' al-Badrain berkata:

"Dan (sunnah) puasa (pada) Ash'hurul Hurum iaitu Rajab dan Zulqa'idah dan Zulhijjah dan Muharrom." [Matla' al-Badrain]


Kesimpulan:

Berdasarkan dalil dan pendapat para ulamak, dapat disimpulkan bahawa berpuasa bulan Rajab adalah sunnah dan digalakkan, malah afdhal berpuasa penuh sebulan jika mampu. Memang tidak dinafikan tersebar beberapa hadis palsu tentang kelebihan bulan Rajab, tapi itu tiada kaitan tentang hakikat kelebihan bulan Rajab itu sendiri yang telah sabit dari Al-Quran dan Hadis hingga disimpulkan oleh para ulamak. Sama juga jika seorang fasiq mengeluarkan hadis palsu tentang kelebihan lain jika berpuasa enam hari sunat Syawal, namun hakikatnya tetap puasa sunat Syawal itu digalakkan di dalam agama. Malah memang ada beberapa hadis yang menyatakan tentang kelebihan berpuasa khusus bulan Rajab (seperti yang dinyatakan Imam al-Suyuthi), walaupun darjat hadis tersebut berstatus dho'if tetapi ia tetap bukan termasuk dari hadis palsu. Dan menurut Imam an-Nawawi dan Syeikh Ibn Hajar al-Haitami, ulamak bersepakat (ijmak) bahawa hadis dho'if boleh diamalkan sebagai kelebihan dalam beramal ibadah. Syeikh Ibn Hajar al-Haitami di dalam Syarh al-Arba'in juga mengatakan: "Hadis dho'if itu pada asalnya (sisi matannya) adalah hadis sohih (cuma perawi yang membezakan darjat hadis tersebut), maka perlu juga diberikan haknya iaitu dengan beramal dengannya."


Wallahu a'lam.

Comments

Popular posts from this blog

HUKUM TIDAK BERTEGUR SAPA MELEBIHI 3 HARI

LUPA NIAT JAMAK

ZIKIR: ALLAHUMMA AJIRNI MANAN-NAAR