BERJEMA'AH MASJID ATAU DI RUMAH ?

SOLAT BERJEMAAH DI MASJID ATAU DI RUMAH BERSAMA ISTERI LEBIH AFDHAL?

Oleh: Ustaz Aziz Kanun

Dari Group Usrah Solat : Q&A Ibadah (MSO-D7)

Soalan: As salam ustaz saya nak tanya..mana lebih afdal suami solat berjemaah bersama isteri di rumah @ suami solat berjemaah di surau/masjid?

Jawapan kami:

Mengikut mazhab Syafie, solat berjemaah merupakan fardhu kifayah ke atas ahli kariah, dengan maksudnya berdosalah satu kampung jika tiada satu pun solat berjemaah didirikan. Dan ia merupakan sunat muakkad bagi setiap individu lelaki yang akil baligh dan bermuqim. [Kifayah al akhyar: jilid 1/ms 81]

Untuk orang lelaki adalah lebih afdhal menunaikan solat berjemaah itu di masjid atau surau (berbanding berjemaah di rumah)

Dalam satu hadis riwayat Ibn Mas’ud, beliau menjelaskan;

ولو صليتم في بيوتكم لتركتم سنة نبيكم، واذا تركتم سنة نبيكم لضللتم...او نحوه

“Sekiranya kamu semua bersolat di rumah-rumah kamu, nescaya kamu telah meninggalkan jalan petunjuk nabi kamu, bila kamu meninggalkan jalan petunjuk nabi kamu, pasti kamu semua akan sesat....”

Sekali pun hadis ini seperti menyatakan hukum fardhu ain solat berjemaah, terdapat hadis-hadis lain yang juga seperti membayangkan hukum solat berjemaah adalah sunat yang sangat diberatkan.

Lafaz Kifayah al-Akhyar [Syeikh Taqiyuddin]:

واعلم ان الجماعة تحصل بصلاة الرجل في بيته مع زوجته وغيرها، لكنها في المسجد افضل

“Dan ketahuilah bahawa solat berjemaah itu terhasil dengan solat seorang lelaki bersama isterinya di rumah atau bersama orang lain. Akan tetapi solat berjemaah itu lebih afdhal dilakukan di masjid”. [Kifayah al-Akhyar: jilid 1/ms 82]

Maka adalah lebih afdhal para suami keluar bersolat di surau atau masjid meninggalkan isteri bersolat bersendirian di rumah, kecuali jika ditakuti isteri akan melambat2kan solat jika bersendirian. Namun para ulama mutaakhirin syafie khilaf dalam hal afdhal lelaki solat di masjid atau di rumah mengikut keadaan.

Dan di sini dinyatakan lafaz Mughnil Muhtaj [al-Khatib al-Syarbini]:

لو ذهب إلى المسجد وترك أهل بيته ليصلون فرادى أو لتهاونوا أو بعضهم في الصلاة فصلاته في البيت أفضل من صلاته في المسجد-مغني

“Sekiranya suami ke masjid berjemaah dan meninggalkan ahli keluarganya di rumah, (akan) menyebabkan mereka akan bersolat bersendirian semua mereka atau meringan-ringan dengan solat berjemaah atau sebahagian daripada ahli keluarganya. Maka pada ketika ini solat lelaki tersebut di rumah lebih afdhal daripada solatnya di masjid” [Mughnil Muhtaj]

Terdapat saranan daripada Syeikh Nuruddin Hafizahullah supaya suami menunaikan solat sunat rawatib di rumah dengan dimakmumkan oleh isteri yang bersolat fardhu (imam solat sunat, makmum solat fardhu), kemudian setelah selesai salam suami, maka isteri boleh (bangun) meneruskan rakaat solat fardhu yang masih berbaki (dan suami pergi berjemaah di masjid).

"Mazhab Syafie berpandangan sah solat fardhu seseorang yang berimamkan seseorang yang sedang solat sunat, begitu juga sah solat orang yang bersolat tunai dengan orang yang bersolat qadha."
[وشاح الافراح واصباح الفلاح: الشيخ محمد ابن اسماعيل داود الفطاني] Cetakan darul maarif: ms 33

Wallahu a’lam

=======================

SUMBER: madrasahsunnionline.blogspot.my

Comments

Popular posts from this blog

HUKUM TIDAK BERTEGUR SAPA MELEBIHI 3 HARI

LUPA NIAT JAMAK

ZIKIR: ALLAHUMMA AJIRNI MANAN-NAAR