BULAN PUASA PESTA MAKAN?

Allah subhanahu wa ta'ala berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa." (Al-Baqarah : 183)

Hikmah diperintahkan berpuasa agar kita tingkatkan diri menjadi hamba yang bertaqwa. Puasa adalah wasilah (jalan) bagi menuju ketaqwaan, hindarkan diri dari syahwat yang merupakan punca maksiat. Juga menjaga diri dari belenggu hawa nafsu seperti makanan, jima', nikmat dunia dan lain-lain.

Namun hikmah Ramadhan ini tidak dirasai dalam diri sesetengah rakyat Malaysia, tanpa disedari mereka menganggap Ramadhan adalah pesta makan, banyak juadah yang menarik menanti ketika Ramadhan, makan sehingga kekenyangan dan tidak mampu lagi beribadah, lalu tidur dan keberkahan Ramadhan hilang begitu saja. Bahkan telah ada kejadian seseorang yang berbuka puasa sehingga muntah, sedangkan perut ini ada hadnya, janganlah makan dengan tamak.

Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam bersabda: "Orang mukmin makan dengan 1 perut, sedangkan orang kafir itu makan dengan 7 perut." (Riwayat al-Bukhari : 5082, Muslim : 2060)

Syeikh Abdul Qadir di dalam Penawar Bagi Hati berkata (saya ringkaskan dan terjemahkan) :

"Tamak dengan makanan itu adalah punca bagi segala kejahatan, kerana dari perut itulah punca keinginan hawa nafsu, dan dari hawa nafsu pula membawa kepada keinginan faraj. Maka Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam bersabda: 'Tiada perbuatan yang lebih kasih kepada Allah Ta‘ala daripada merasa lapar dan dahaga.' Juga Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam bersabda: 'Berfikir itu sebahagian (1/2) daripada ibadat dan sedikit makan itu adalah satu (1) ibadat.' Adapun kenyang itu membawa kepada hilang nikmat beribadat, menaikkan hawa nafsu, hilang rasa kasihan pada orang miskin yang kelaparan kerana tertipu dengan kekenyangannya - padahal inilah antara hikmah berpuasa, mudah lupa akan ilmu yang ada, orang sempurna iman tu sering ke masjid sedangkan orang yang kenyang akan habiskan masa di jamban." [Penawar Bagi Hati]

Imam az-Zahabi di dalam Siyar A'lam al-Nubala' (10/36), menaqalkan perkataan Imam al-Syafi'e:

"Kenyang menyebabkan badan menjadi berat, hati menjadi keras, menghilangkan kecerdikan, banyak tidur dan lemah untuk beribadah."

Makanlah kadar sederhana sahaja dan tidak banyak, itulah sunnah yang patut diterapkan dalam diri kita sehingga akhir hayat, kerana tamak pada makanan itu bukan ciri seorang mukmin malahan membawa kepada banyak keburukan.

Jadikanlah Ramadhan kali ini sebagai titik tolak untuk kita berubah menjadi hamba yang lebih bertaqwa, kurangkan hawa nafu makan, berhentilah sebelum kenyang. Islam itu sempurna, beruntunglah kerana Nabi kita sudah mengajar banyak cara apabila menghadap makanan, maka ikutilah cara Baginda pasti kita akan beruntung.

Wallahu a'lam

Comments

Popular posts from this blog

HUKUM TIDAK BERTEGUR SAPA MELEBIHI 3 HARI

LUPA NIAT JAMAK

ZIKIR: ALLAHUMMA AJIRNI MANAN-NAAR