KEUTAMAAN 10 MALAM TERAKHIR RAMADHAN

Perbanyakkan amalan pada 10 malam terakhir Ramadhan. Tempoh ini adalah kemuncak bagi Ramadhan. Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam lebih gigih beribadat apabila masuknya 10 malam terakhir. Jika ingin buat persiapan raya, buatlah waktu siang sahaja, sementara sebelah malam penuhilah dengan amalan taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah seperti solat fardhu dan tarawih berjemaah, iktikaf, baca al-Quran, berzikir, bersedekah lain-lain. Tidak semestinya perlu berjaga sepanjang malam, jika mampu menghidupkan separuh malam juga sudah sangat beruntung.

Antara jadual harian yang boleh dicadangkan: Beri makan orang berbuka, berbuka puasa (mulakan dengan tamar/kurma), makan sedikit waktu berbuka (agar tidak mudah penat dan mengantuk), solat maghrib berjemaah, bersedekah (walau RM1), solat qadha' atau baca al-Quran atau berzikir, solat isyak berjemaah, solat tarawih 20 rakaat, banyakkan berdoa kepada Allah, tadarus al-Quran, rehat malam, iktikaf di masjid, berzikir (tahlil dan istighfar), qiyamullail (tahajjud, tasbih, hajat), berdoa kepada Allah, solat subuh berjemaah.

* Jangan lupa niat iktikaf apabila masuk Masjid.

Jangan meninggalkan sedekah pada waktu malam 10 hari terakhir Ramadhan, walaupun RM1. Jika kita sedekah RM1 dan malam itu jatuh lailatul qadar, maka seumpama kita bersedekah RM1 selama 83 tahun (kerana bersamaan dengan 1000 bulan).

Beberapa hadis tentang 10 malam terakhir dan bangun malam:

1 - Dari 'Abdullah Bin Umar R.hu, beliau berkata: "Bahawa Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam beriktikaf pada 10 hari terakhir Ramadhan." (Riwayat al-Bukhori : 1921, Riyadhus Solihin : 1268)

2 - Dari 'Aisyah R.ha, beliau berkata: "Bahawa Baginda beriktikaf pada 10 hari terakhir Ramadhan sehinggalah Baginda wafat. Kemudian para isteri Baginda pula (beriktikaf) selepas itu." (Riwayat al-Bukhori : 2026)

3 - Dari 'Aisyah R.ha, beliau berkata: "Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam apabila memasuki 10 hari (terakhir bulan Ramadhan), maka Baginda menghidupkan malam (dengan beribadah), mengejutkan ahli keluarganya, bersungguh-sungguhan (dalam beribadah) dan mengetatkan kainnya (kerana gigih beribadah)." (Riwayat Muslim : 1174)

4 - Dari 'Aisyah R.ha, beliau berkata: "Bahawa Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam lebih gigih (beribadah) pada 10 malam terakhir (Ramadhan), tidak sepertimana Baginda gigih pada hari lainnya." (Riwayat Muslim : 1175)

5 - Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam bersabda: "Semoga Allah merahmati lelaki yang mendirikan malam dengan melakukan solat dan mengejutkan isterinya. Jika isterinya enggan (bangun), maka dia percikkan air pada wajah isterinya. Semoga Allah juga merahmati wanita yang mendirikan malam dengan melakukan solat dan mengejutkan suaminya. Jika suaminya enggan (bangun), maka dia percikkan air pada wajah suaminya." (Riwayat Abu Daud : 1308)

Wallaahu a'lam

========================

Matan hadis:

1 - عن عبد الله بن عمر رضي الله عنهما قال كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يعتكف العشر الأواخر من رمضان

2 - كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الْأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ, ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ

3 - كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وجد وشد المئزر

4 - كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ، مَا لَا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ

5 - رَحِمَ اللَّهُ رَجُلاً قَامَ مِنَ اللَّيْلِ فَصَلَّى وَأَيْقَظَ امْرَأَتَهُ فَإِنْ أَبَتْ نَضَحَ فِى وَجْهِهَا الْمَاءَ رَحِمَ اللَّهُ امْرَأَةً قَامَتْ مِنَ اللَّيْلِ فَصَلَّتْ وَأَيْقَظَتْ زَوْجَهَا فَإِنْ أَبَى نَضَحَتْ فِى وَجْهِهِ الْمَاءَ

Comments

Popular posts from this blog

HUKUM TIDAK BERTEGUR SAPA MELEBIHI 3 HARI

LUPA NIAT JAMAK

ZIKIR: ALLAHUMMA AJIRNI MANAN-NAAR