WANITA ISTIHADHOH & KEPUTIHAN BERSUCI

CARA WANITA ISTIHADHOH & KEPUTIHAN MELAKUKAN WUDHU' & SOLAT

Hukum wanita istihadhoh sama seperti wanita yang mengalami keputihan atau orang yang mengalami salisul baul (kencing tidak lawas): Yakni selalu kedatangan hadas kecil (daimul hadas). Maka cara bersuci dan solat bagi masalah ini boleh lihat artikel Masalah Kencing Tidak Lawas  tulisan Dr. Zulkifli al-Bakri, cuma dalam kurungan tambahan saya :


Para fuqaha’ telah meletakkan beberapa garis panduan buat golongan ini dalam berwudhu’ dan kami nukilkan di sini agar dapat dijadikan pedoman bersama antara yang telah digariskan oleh para fuqaha’ [Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e. Dar al-Qalam, (1/122-124)]:

1. Hukum solat dan juga ibadah lain yang memerlukan wudhu’ tidak tergugur disebabkan penyakit kencing tidak lawas (atau darah istihadhoh).

2. Perlulah dibersihkan dahulu bahagian kemaluan dan kemudian ikhtiarkan dengan sesuatu yang boleh menutup bahagian kemaluan tersebut seperti membalutnya dengan kapas, ditutup dengan bandage, memakai pampers (lampin) atau apa cara sekalipun agar titisan air kencing (atau darah) itu dapat dihalang dari terus menitis.

3. Bagi wudhu’ pula, perlulah segera berwudhu’ setelah berhati-hati dengan merasakan tidak lagi menitis air kencing (atau darah) selepas ianya dibalut atau ditutup, dan wudhu’ tersebut perlulah diambil selepas masuknya waktu solat.

4. Wajib berwudhu’ bagi setiap solat fardhu, dan wudhu’ tersebut boleh digunakan untuk beberapa solat sunat selepas solat fardhu.

5. Wajib segera menunaikan solat selepas berwudhu’ untuk mengurangkan hadas namun tidaklah memudaratkan solat jika dilewatkan solat tersebut disebabkan oleh maslahah seperti mendengar azan dan iqamah, menunggu jemaah yang lain bagi yang solat berjemaah, mencari kiblat, menuju ke masjid, mencari sutrah. Kesemua tempoh ini tidak memudaratkan wudhu’ meskipun dalam tempoh tersebut menitis air kencing (atau darah).

6. Sekiranya dilewatkan solat (tidak bersegera solat) tanpa adanya maslahah (tanpa ada sebab), maka batal wudhu’nya dan wajib ke atasnya untuk mengulangi wudhu’ tersebut sebagai berhati-hati kerana telah berulang hadas serta najis tersebut.

7. Wajib berwudhu’ bagi setiap kali solat fardhu dan dibolehkan bagi wudhu’ tersebut untuk satu solat fardhu dan beberapa solat sunat yang mengiringi solat fardhu tersebut.

8. Wajib menggantikan balutan/bandage/plaster/pampers dengan yang baru sekiranya memperbaharui wudhu’, dan wudhu’nya itu akan terbatal dengan perkara-perkara lain yang membatalkan wudhu’ seperti terkentut, gila, namun tidak (yakni tidak batal) bagi kencing yang tidak lawas (atau keluar darah istihadhoh) meskipun ianya najis (ia dimaafkan).

________________________________


Tambahan saya:

• Kena pastikan sudah masuk waktu solat, baru boleh mulakan bersuci seperti langkah di atas. Jika sebelum masuk waktu dah mulakan bersuci, wajib diulang semula langkah diatas selepas masuk waktu. Dan jika berhadas ketika berwudhuk atau ketika solat, dimaafkan. Tetapi selepas berwudhu' kena segera mendirikan solat.

• Cuma bagi penyakit ini, niat berwudhu' itu bukanlah "sahaja aku berwudhu' bagi mengangkat hadas", tetapi niatnya "sahaja aku berwudhu' bagi mengharuskan solat", kerana wudhu' ini bukanlah wudhu' yang hakiki/sebenar (kerana sentiasa berhadas dan akan menyebabkan batalnya wudhu'), tetapi wudhu' ini hanya untuk memperbolehkan solat sahaja.

• Ibadah bagi orang yang daimul hadas (selalu mengalami  hadas kecil) seperti salisul baul atau istihadhoh atau keputihan hanya sah untuk satu fardhu sahaja (seperti solat fardhu, tawaf rukun), namun boleh untuk berbilang (banyak kali) perbuatan sunat (seperti solat-solat sunat, sentuh Al-Quran dan lain-lain).

Syeikh Zakariya al-Ansori di dalam Manhajut Thullab (1/12) berkata:

والاستحاضة كسلس فلا تمنع ما يمنعه الحيض فيجب أن تغسل مستحاضة فرجها فتحشوه فتعصبه بشرطهما فتطهر لكل فرض وقته وتبادر به ولا يضر تأخيرها لمصلحة كستر وانتظار جماعة
(منهج الطلاب في فقه الإمام الشافعي)

"Istihadhoh (darah penyakit) itu seperti orang yang salis (penyakit berhadas), orang yang istihadhoh tidak dihalang melakukan sesuatu (ibadah dan ianya berbeza) seperti apa yang dilarang ketika haidh. Maka (selepas masuk waktu) wajib bagi seorang yang istihadhoh membersihkan kemaluannya, menyekatnya (dari keluar darah) dan membalutnya (yakni menutupnya dengan kain atau lampin agar tidak terkena pakaian) berserta dengan syarat-syaratnya, kemudian barulah bersuci (berwudhu'). Kesemua ini wajib dilakukan apabila (selepas) masuk waktunya dan bersegera melakukannya. Tidak mengapa jika dilewatkan solat (setelah berwudhu') jika terdapat maslahat seperti menutup (auratnya) atau menunggu jama'ah." [Manhajut Thullab]


Wallahu a'lam

Comments

  1. Jika ingin solat Qadha mcm mana? Satu solat Qadha sahaja yg dibolehkan dgn satu wudh

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

HUKUM TIDAK BERTEGUR SAPA MELEBIHI 3 HARI

LUPA NIAT JAMAK

ZIKIR: ALLAHUMMA AJIRNI MANAN-NAAR