BERKENAAN HUKUM ANJING

ANJING : HUKUM PELIHARA, JUAL BELI & BERSUCI

Apakah hukum membela anjing bagi menjaga kebun, dan bagaimana kita nak mengendalikannya jika terkena anjing tersebut.

Jawapan:

Ulamak bersepakat (ijmak) bahawa diharamkan pelihara anjing jika tanpa hajat. Apabila seseorang membelanya kerana berasa tertarik pada anjing, menurut Imam an-Nawawi hukumnya adalah haram tanpa khilaf ulamak. Malah pahala amal orang yang membela anjing tersebut akan terhakis (berkurangan) sebanyak dua qiroth (sebesar gunung) pada setiap hari.

Namun ulamak memberikan kelonggaran untuk menggunakan anjing jika ada hajat (keperluan). Hajat yang dibenarkan adalah:

1. Menjaga kebun
2. Menjaga ternakan binatang
3. Berburu
4. Menjaga rumah (yakni hartanya), dan seumpamanya

Cuma bagi menjaga harta rumah, tidak boleh meletaknya di dalam rumah, tetapi meletaknya di belakang rumah kerana sabit di dalam hadis bahawa malaikat (rahmat) tidak akan masuk ke rumah yang didalamnya terdapat anjing.

Perlu diberi perhatian juga, berkenaan jual beli anjing. Menurut mazhab Syafi'e, menjual anjing adalah tidak sah walaupun ia anjing buruan atau jagaan harta sekalipun. Maka ulamak Syafi'iyyah memberikan kaedah bagi mendapatkan anjing tersebut, antaranya dengan meniatkan pemberian duit kepada penjual itu sebagai "upah", yakni upah kerana khidmat mereka mendapatkan anjing untuknya, dan tidak boleh diniatkan pemberian duit itu sebagai akad jual beli.

Berkenaan najis pula, oleh kerana anjing termasuk dari najis mughollazoh, maka persentuhan dengan anjing tersebut akan menajiskan badan manusia. Namun untuk dihukum bernajis, mestilah salah satu pihak (sama ada manusia itu atau anjing) dalam keadaan basah atau lembap, maka apabila terjadi persentuhan antara kedua-duanya (tersentuh mana-mana bahagian anggota anjing), maka manusia itu telah dihukum bernajis (berpindah najis anjing pada badan manusia). Oleh itu, orang yang terkena najis mughollazoh ini diwajibkan sertu (biasanya orang kita menamakannya samak).

Adapun jika kedua-duanya kering, yakni manusia dan anjing itu sama-sama dalam keadaan kering,  maka tidak dihukum bernajis pada manusia jika tersentuh, kerana kering sama kering tidak berpindah najis.

Cara sertu pula adalah : Membasuh pada anggota yang terkena najis mughollazoh itu dengan 7x air, yakni 6x air mutlak dan 1x air campuran tanah (air yang dicampur sedikit tanah sehingga berwarna keruh atau perang). Seeloknya didahulukan membasuh air campuran tanah itu, kemudian dengan 6x air mutlak.

Rujukan:

Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

ﺃَﻳُّﻤَﺎ ﺃَﻫْﻞِ ﺩَﺍﺭٍ ﺍﺗَّﺨَﺬُﻭﺍ ﻛَﻠْﺒًﺎ، ﺇِﻟَّﺎ ﻛَﻠْﺐَ ﻣَﺎﺷِﻴَﺔٍ، ﺃَﻭْ ﻛَﻠْﺐَ ﺻَﺎﺋِﺪٍ، ﻧَﻘَﺺَ ﻣِﻦ ﻋَﻤَﻠِﻬِﻢْ ﻛُﻞَّ ﻳَﻮْﻡٍ ﻗِﻴﺮَﺍﻃَﺎﻥِْ

"Sesiapa penghuni rumah yang mengambil (pelihara) anjing, melainkan (ada hajat seperti) anjing untuk menjaga ternakan atau anjing untuk berburu, (tetapi jika tiada hajat maka) akan dikurangi (pahala) amalannya sebanyak dua qiroth pada setiap hari." (Riwayat Muslim : 4111)

Imam an-Nawawi di dalam Syarah Sohih Muslim (3/186) berkata:

ﻭﻗﺪ ﺍﺗﻔﻖ ﺃﺻﺤﺎﺑﻨﺎ ﻭﻏﻴﺮﻫﻢ ﻋﻠﻰ ﺃﻧﻪ ﻳﺤﺮﻡ ﺍﻗﺘﻨﺎﺀ ﺍﻟﻜﻠﺐ ﻟﻐﻴﺮ ﺣﺎﺟﺔ ﻣﺜﻞ ﺃﻥ ﻳﻘﺘﻨﻰ ﻛﻠﺒﺎ ﺍﻋﺠﺎﺑﺎ ﺑﺼﻮﺭﺗﻪ ﺃﻭ ﻟﻠﻤﻔﺎﺧﺮﺓ ﺑﻪ ﻓﻬﺬﺍ ﺣﺮﺍﻡ ﺑﻼ ﺧﻼﻑ

"Telah itifaq (sepakat) para as'hab kami (ulamak Syafi'iyyah) bahawa diharamkan pelihara anjing apabila tanpa hajat (keperluan), misalnya seperti peliharanya kerana berasa kagum (tertarik) dengan rupanya atau berasa megah apabila memilikinya, maka ia diharamkan tanpa khilaf (tanpa perbezaan pendapat)." [Syarah Sohih Muslim]

Di dalam al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (35/124) berkata:

اتفق الفقهاء على أنه لا يجوز اقتناء الكلب إلا لحاجة : كالصيد والحراسة ، وغيرهما من وجوه الانتفاع التي لم ينه الشارع عنها

"Para ulamak telah sepakat bahawa tidak diharuskan (yakni haram) pelihara anjing, kecuali jika ada hajat (keperluan) : Seperti untuk berburu, sebagai penjaga (kebun atau ternakan atau rumah) dan kepentingan lain yang tidak bercanggah dengan syarak." [al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah]

Imam an-Nawawi di dalam Syarah Sohih Muslim (10/236) berkata:

وهل يجوز لحفظ الدور والدروب ونحوها ؟ فيه وجهان أحدهما لا يجوز لظواهر الأحاديث فإنها مصرحة بالنهي إلا لزرع أو صيد أو ماشية ، وأصحها يجوز قياسا على الثلاثة عملا بالعلة المفهومة من الأحاديث وهي الحاجة

"Adakah diharuskan penggunaan anjing untuk menjaga rumah, atau menjaga jalanan (laluan) dan yang seumpamanya? (Imam an-Nawawi berkata) : Ini ada dua pendapat. Salah satu pendapat ialah tidak diharuskan (yakni tidak dibenarkan jika bertujuan menjaga rumah), ini berdasarkan makna zohir hadis bahawa pengecualian tersebut hanyalah bagi (tiga sebab sahaja yakni) menjaga kebun atau berburu atau menjaga ternakan. Adapun (lagi satu pendapat yakni) menurut as'hab kami (ulamak Syafi'iyyah), ianya diharuskan (dibenarkan), ini berlandaskan qiyas terhadap tiga pengecualian tersebut, yakni sebagai pengamalan terhadap apa yang dapat difahami dari makna hadis tersebut bahawasanya - Apabila adanya hajat (keperluan)." [Syarah Sohih Muslim]

=========

Dari Abi Mas'ud al-Ansori R.A, beliau berkata:

ﺃَﻥَّ ﺭَﺳُﻮﻝَ ﺍﻟﻠﻪِ ﺻَﻠَّﻰ ﺍﻟﻠﻪُ ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﻭَﺳَﻠَّﻢَ ﻧَﻬَﻰ ﻋَﻦْ ﺛَﻤَﻦِ ﺍﻟْﻜَﻠْﺐِ، ﻭَﻣَﻬْﺮ ﺍﻟْﺒَﻐِﻲِّ، ﻭَﺣُﻠْﻮَﺍﻥِ ﺍﻟْﻜَﺎﻫِﻦِ

“Bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam menegah dari harga (duit hasil penjualan) anjing, mahar (bayaran dari hasil) pelacuran dan upah (bayaran) untuk al-Kaahin (bomoh)." (Riwayat al-Bukhari : 2237, Muslim : 1567)

Imam an-Nawawi di dalam Syarah Sohih Muslim (10/232) berkata:

ﻭﺃﻣﺎ ﺍﻟﻨﻬﻰ ﻋﻦ ﺛﻤﻦ ﺍﻟﻜﻠﺐ ﻭﻛﻮﻧﻪ ﻣﻦ ﺷﺮ ﺍﻟﻜﺴﺐ ﻭﻛﻮﻧﻪ ﺧﺒﻴﺜﺎ ﻓﻴﺪﻝ ﻋﻠﻰ ﺗﺤﺮﻳﻢ ﺑﻴﻌﻪ ﻭﺃﻧﻪ ﻻ ﻳﺼﺢ ﺑﻴﻌﻪ ﻭﻻ ﻳﺤﻞ ﺛﻤﻨﻪ ﻭﻻ ﻗﻴﻤﺔ ﻋﻠﻰ ﻣﺘﻠﻔﻪ ﺳﻮﺍﺀ ﻛﺎﻥ ﻣﻌﻠﻤﺎ ﺃﻡ ﻻ ﻭﺳﻮﺍﺀ ﻛﺎﻥ ﻣﻤﺎ ﻳﺠﻮﺯ ﺍﻗﺘﻨﺎﺅﻩ ﺃﻡ ﻻ ﻭﺑﻬﺬﺍ ﻗﺎﻝ ﺟﻤﺎﻫﻴﺮ ﺍﻟﻌﻠﻤﺎﺀ

"Adapun berkenaan larangan dari harga (duit hasil jualan) anjing, dinyatakan bahawa ianya adalah seburuk-buruk hasil jualan, demikian juga diharamkan menjualnya, dan (hukum) jual beli itu adalah tidak sah dan tidak halal (duit dari) harganya. Dan tidak diambil nilainya (yakni tidak perlu ganti rugi) jika anjing itu dihapuskan. (Dan larangan ini termasuklah) sama ada ia anjing yang terlatih (untuk berburu) atau bukan sekalipun, dan jika ia anjing yang bermanfaat (sebagai penjaga) atau bukan sekalipun (tetap haram dijual). Inilah pendapat yang dipegang oleh jumhur (kebanyakan) ulamak." [Syarah Sohih Muslim]

======

Nabi sollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

ﻃَﻬُﻮﺭُ ﺇِﻧَﺎﺀِ ﺃَﺣَﺪِﻛُﻢْ ﺇِﺫَﺍ ﻭَﻟَﻎَ ﻓِﻴﻪِ ﺍﻟْﻜَﻠْﺐُ، ﺃَﻥْ ﻳَﻐْﺴِﻠَﻪُ ﺳَﺒْﻊَ ﻣَﺮَّﺍﺕٍ ﺃُﻭﻟَﺎﻫُﻦ ّﺑِﺎﻟﺘُّﺮَﺍﺏَ

"Menjadi suci sebuah bekas (milik) salah seorang antara kamu apabila anjing menjilatnya, iaitu dengan membasuhnya tujuh kali, salah satunya dengan (dicampurkan) tanah." (Riwayat Muslim : 3/183)

Imam an-Nawawi di dalam Syarah Sohih Muslim (3/185) berkata:

لا فرق عندنا بين ولوغ الكلب وغيره من أجزائه فإذا أصاب بوله أو روثه أو دمه أو عرقه أو شعره أو لعابه أو عضو من أعضائه شيئا طاهرا في حال رطوبة أحدهما وجب غسله سبع مرات إحداهن بالتراب

"Tiada perselisihan di antara kami (ulamak Syafi'iyyah) berkenaan jilatan anjing dan (termasuk juga) selainnya (bahagian anggotanya yang lain) bahawa ianya adalah najis. Apabila ada air kencingnya atau kotorannya atau darahnya atau peluhnya atau bulunya atau air liurnya atau mana-mana bahagian tubuh anjing itu bersentuhan pada sesuatu yang suci (dan persentuhan itu) dalam keadaan basah salah satu pihak, maka wajib membasuhnya sebanyak tujuh kali, salah satunya dengan (campuran) tanah." [Syarah Sohih Muslim]

Di dalam Fiqh al-Ibadah - Syafi'e (1/181) menyatakan:

إذا اتصل النجس أو المتنجس بالطاهر نظر فإن كانا جافين فلا تؤثر النجاسة بالطاهر بناء على القاعدة الفقهية : الجاف طاهر بلا خلاف . وإن كان أحدهما أو كلاهما رطبا تنجس الطاهر بالآخر

"Apabila najis atau mutanajjis (sesuatu yang terkena najis bersentuhan) dengan yang suci (seperti manusia), maka ditilik dahulu : Jika kedua-duanya kering, maka najis tersebut tidak mampu menjejaskan kesucian sesuatu itu (yakni tidak berpindah najis), ini dibinakan atas kaedah fiqhiyyah : "Sesuatu yang kering adalah suci, tanpa khilaf ulamak." Adapun jika salah satu pihak (najis atau benda suci itu basah) atau kedua-duanya basah, maka akan menajiskan sesuatu yang suci itu." [Fiqh al-Ibadah - Syafi'e]

Wallaahu a'lam

Comments

Popular posts from this blog

HUKUM TIDAK BERTEGUR SAPA MELEBIHI 3 HARI

LUPA NIAT JAMAK

ZIKIR: ALLAHUMMA AJIRNI MANAN-NAAR