DEFINISI MAKRUH

• Dari segi bahasa bermaksud: "Tidak disukai atau dibenci."
• Dari segi syarak bermaksud: "Perbuatan yang dituntut oleh syariat untuk meninggalkannya, namun tidak berdosa apabila mengerjakannya."

Makruh ini ada dua jenis, makruh tanzih dan makruh tahrim. Jika disebut makruh, maka kebiasaanya merujuk kepada makruh tanzih. Adapun makruh tahrim adalah lebih berat.

Makruh tahrim sama seperti haram yakni membawa kepada dosa, cuma dalil pengharaman itu tidak qot'ie seperti hukum haram, kerana itu diistilahkan sebagai makruh tahrim.

Adapun makruh tanzih (atau diistilahkan sebagai makruh) tidak membawa kepada dosa, namun perbuatan makruh itu dibenci dalam agama. Maka, makruh tanzih ini termasuk juga dalam tegahan agama cuma ia tidaklah membawa kepada dosa seperti hukum haram atau makruh tahrim.

Sayyid Abu Bakar Syatho di dalam I'anah at-Tholibin (1/121) berkata:

ﺍﻟﻔﺮﻕ ﺑﻴﻦ ﻛﺮﺍﻫﺔ ﺍﻟﺘﺤﺮﻳﻢ ﻭﻛﺮﺍﻫﺔ ﺍﻟﺘﻨﺰﻳﻪ : ﺃﻥ ﺍﻷﻭﻟﻰ ﺗﻘﺘﻀﻲ ﺍﻹﺛﻢ، ﻭﺍﻟﺜﺎﻧﻴﺔ ﻻ ﺗﻘﺘﻀﻴﻪ

"Perbezaan antara makruh tahrim dan makruh tanzih adalah: Makruh yang pertama (tahrim) membawa kepada dosa, adapun makruh yang kedua (tanzih) tidak berdosa." [I'anah at-Tholibin]

Sayyid Abu Bakar Syatho menambah lagi:

ﻭﺍﻟﻔﺮﻕ ﺑﻴﻦ ﻛﺮﺍﻫﺔ ﺍﻟﺘﺤﺮﻳﻢ ﻭﺍﻟﺤﺮﺍﻡ، ﻣﻊ ﺃﻥ ﻛﻼ ﻳﻘﺘﻀﻲ ﺍﻹﺛﻢ : ﺃﻥ ﻛﺮﺍﻫﺔ ﺍﻟﺘﺤﺮﻳﻢ ﻣﺎ ﺛﺒﺘﺖ ﺑﺪﻟﻴﻞ ﻳﺤﺘﻤﻞ ﺍﻟﺘﺄﻭﻳﻞ، ﻭﺍﻟﺤﺮﺍﻡ ﻣﺎ ﺛﺒﺖ ﺑﺪﻟﻴﻞ ﻗﻄﻌﻲ ﻻ ﻳﺤﺘﻤﻞ ﺍﻟﺘﺄﻭﻳﻞ، ﻣﻦ ﻛﺘﺎﺏ ﺃﻭ ﺳﻨﺔ ﺃﻭ ﺇﺟﻤﺎﻉ ﺃﻭ ﻗﻴﺎﺱ

"Perbezaan antara makruh tahrim dan haram pula, kedua-duanya juga membawa kepada dosa (cuma) : Makruh tahrim sabit dari dalil yang masih boleh ditakwil (boleh diperselisihkan hukumnya), adapun haram bersabit dari dalil yang qot'ie (tetap/muktamad) yang tidak boleh ditakwil lagi (tidak boleh diubah hukumnya) sama ada ia dari kitab (al-Quran), atau sunnah, atau ijmak atau qiyas." [I'anah at-Tholibin]

Wallahu a'lam bissowab

Comments

Popular posts from this blog

HUKUM TIDAK BERTEGUR SAPA MELEBIHI 3 HARI

LUPA NIAT JAMAK

ZIKIR: ALLAHUMMA AJIRNI MANAN-NAAR