HUKUM BERI SALAM SERENTAK DENGAN IMAM

Apa hukum makmum beri salam serentak dengan imamnya?

Jawapan:

Lafaz salam yang wajib sekurang-kurangnya adalah "Assalamu'alaikum", manakala "wa rahmatullah" adalah sunat. Maka apabila makmum memberi salam serentak dengan imamnya pada lafaz yang wajib, umpamanya imam baru sahaja mengucapkan "Assalamu.." sedangkan makmum sudah pun memberi salam, maka solat makmum tidak batal namun hukumnya adalah makruh bahkan menghilangkan fadhilat berjemaah. Dihukum makruh kerana imam belum lagi selesai memberi salam  yang pertama, maka dikira serentak dengan imamnya pada memberi salam. Maka pastikan imam sudah memberi salam yang pertama, barulah makmum dibolehkan memberi salam.

Hukum ini berbeza pada masalah takbiratul ihram, kerana apabila makmum serentak dengan imamnya ketika takbiratul ihram maka batallah solat makmum. Adapun serentak dengan imam ketika memberi salam hukumnya makruh seperti yang dinyatakan di atas.

Adapun makmum beri salam lebih awal dari imamnya dengan sengaja (bukan terlupa), maka batal solat makmum, kecuali makmum niat mufaraqah (berpisah dari imam), maka boleh beri salam lebih awal dari imamnya, namun mufaraqahnya akan mengurangkan pahala berjemaah jika melakukannya tanpa sebab.

Dan yang paling afdhal, disunatkan bagi makmum menunggu sehingga imamnya selesai beri salam yang kedua, yakni imam mengucapkan "Assalamu'alaikum wa rahmatullah, Assalamu'alaikum wa rahmatullah", maka barulah makmum mula memberi salam.

Rujukan:

Syeikh Ibnu 'Imad di dalam kitab al-Qaulu Tam fi Ahkam al-Makmum wal Imam berkata:

"Jika makmum memberi salam serentak dengan imamnya, maka hukumnya ada dua pendapat (khilaf). Pendapat yang sohih (kuat) antara keduanya adalah solatnya tidak batal namun menghilangkan fadhilat berjemaah kerana menyalahi imamnya." [al-Qaulu Tam fi Ahkam al-Makmum wal Imam]

Syeikh Arsyad al-Banjari di dalam Sabilal Muhtadin berkata:

"Dan disunatkan bagi makmum bahawa, tiada memberi salam ia melainkan (beri salam itu) kemudian daripada selesai imam daripada (ucap) dua salam, seperti barang (hukum) yang tersebut (dinyatakan) dalam Tahqiq (karangan Imam Nawawi)." [Sabilal Muhtadin]

Wallahu a'lam bissowab

Comments

Popular posts from this blog

HUKUM TIDAK BERTEGUR SAPA MELEBIHI 3 HARI

LUPA NIAT JAMAK

ZIKIR: ALLAHUMMA AJIRNI MANAN-NAAR