HUKUM MENCABUT UBAN

Apa hukum mencabut uban?

Jawapan: Menurut mazhab Syafi'e, mencabut uban hukumnya makruh, kerana banyak kelebihan besar yang dijanjikan dalam hadis bagi orang yang beruban, antaranya ia akan menjadi cahaya di akhirat nanti, dihapuskan kesalahan, diangkatkan darjat dan lain-lain.

Namun jika seseorang memotong rambutnya, tidaklah dianggap mencabut uban, dan ia tidak termasuk di dalam tegahan makruh ini.

Rujukan:

Imam an-Nawawi di dalam al-Majmu' (1/292) berkata:

قَالَ أَصْحَابُنَا يُكْرَهُ , صَرَّحَ بِهِ الْغَزَالِيُّ وَالْبَغَوِيُّ وَآخَرُونَ , وَلَوْ قِيلَ : يَحْرُمُ لِلنَّهْيِ الصَّرِيحِ الصَّحِيحِ لَمْ يَبْعُدْ , وَلَا فَرْقَ بَيْنَ نَتْفِهِ مِنْ اللِّحْيَةِ وَالرَّأْسِ

"Menurut as'hab kami (ulamak Syafi'iyyah), hukumnya makruh (mencabut uban), ini diterangkan oleh Imam al-Ghozali, Imam al-Baghowi dan selainnya. Jika dikatakan: (mencabut uban) hukumnya haram (sekalipun) berdasarkan tegahan yang jelas (soreh) dan sohih dalam hadis, maka (pendapat haram ini) tidaklah jauh menyimpang (namun bagi mazhab Syafi'e hukumnya makruh). Dan tiada perbezaan sama ada uban itu dicabut di jambangnya (atau janggutnya) dan di kepalanya (kedua-duanya makruh)." [al-Majmu' Syarh al-Muhazzab]

Imam an-Nawawi di dalam Syarah Sohih Muslim (15/96) berkata:

قال أصحابنا وأصحاب مالك : يكره ولا يحرم

"Menurut as'hab kami (ulamak Syafi'iyyah) dan as'hab Malik (ulamak Malikiyyah): Makruh (mencabut uban), dan ia tidak haram." [Syarah Sohih Muslim]

Dr. Zulkifli al-Bakri di dalam Al-Kafi #588 berkata: "Jika seseorang yang beruban itu memotong rambutnya, maka hukumnya adalah harus kerana itu tidak dianggap sebagai mencabut uban." [al-Kafili al-Fatawi]


Beberapa hadis yang berkaitan:

Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

ﻳُﻜْﺮَﻩُ ﺃَﻥْ ﻳَﻨْﺘِﻒَ ﺍﻟﺮَّﺟُﻞُ، ﺍﻟﺸَّﻌْﺮَﺓَ ﺍﻟْﺒَﻴْﻀَﺎﺀَ ﻣِﻦْ ﺭَﺃْﺳِﻪِ ﻭَﻟِﺤْﻴَﺘِﻪِ

"Makruh bagi seorang lelaki mencabut rambut yang putih daripada kepalanya dan juga dari jambangnya." (Riwayat Muslim : 2341)

Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

لَا تَنْتِفُوا الشَّيْبَ مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَشِيبُ شَيْبَةً فِي الْإِسْلَامِ إِلَّا كَانَتْ لَهُ نُورًا يَوْمَ الْقِيَامَة

"Janganlah mencabut uban. Tidaklah seorang muslim yang memiliki walau sehelai uban ketika Islamnya, melainkan uban tersebut akan menjadi cahaya baginya di hari kiamat nanti." (Riwayat Abu Daud : 4204)

Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

ﻻ ﺗﻨﺘﻔﻮﺍ ﺍﻟﺸﻴﺐ ﻓﺈﻧﻪ ﻧﻮﺭ ﻳﻮﻡ ﺍﻟﻘﻴﺎﻣﺔ ﻭﻣﻦ ﺷﺎﺏ ﺷﻴﺒﺔ ﻓﻲ ﺍﻹﺳﻼﻡ ﻛﺘﺐ ﻟﻪ ﺑﻬﺎ ﺣﺴﻨﺔ ﻭﺣﻂ ﻋﻨﻪ ﺑﻬﺎ ﺧﻄﻴﺌﺔ ﻭﺭﻓﻊ ﻟﻪ ﺑﻬﺎ ﺩﺭﺟﺔ

"Janganlah mencabut uban, sesungguhnya ia (menjadi) cahaya di hari kiamat nanti. Sesiapa yang memiliki walau sehelai uban ketika Islamnya, maka akan dicatatkan baginya satu kebaikan, dihapuskan satu kesalahan, dan diangkatkan satu darjat." (Riwayat Ibnu Hibban : 1479)


Wallaahu a'lam bissowab

Comments

Popular posts from this blog

HUKUM TIDAK BERTEGUR SAPA MELEBIHI 3 HARI

LUPA NIAT JAMAK

ZIKIR: ALLAHUMMA AJIRNI MANAN-NAAR