HUKUM WANITA HAIDH BERWUDHUK

Kita lihat dulu hukum berwudhuk bagi wanita yang berjunub (bersetubuh atau keluar mani).

Dalam Hasyiah al-Jamal karangan Syeikh Sulaiman al-Jamal, dinyatakan bahawa lelaki dan wanita yang dalam keadaan junub dianjurkan berwudhuk dalam beberapa keadaan, yakni:

1. Sebelum tidur
2. Sebelum makan
3. Sebelum minum
4. Sebelum berjima', dan sebagainya.

Berkenaan hukum berwudhuk bagi wanita haidh pula, boleh merujuk kenyataan Imam an-Nawawi di bawah:

Dalam Syarah Sohih Muslim, Imam an-Nawawi menyatakan bahawa wanita yang haidh dan nifas (yang darahnya masih mengalir dan belum kering) tidak disunatkan untuk berwudhuk, kecuali jika darahnya telah berhenti (sudah kering namun belum mandi wajib), maka dianjurkan untuk berwudhuk. Ini kerana, wanita yang telah berhenti (kering) darahnya sama sahaja (hukum) seperti wanita yang berjunub (yang disunatkan berwudhuk dalam beberapa keadaan).

Kesimpulannya, wanita haidh & nifas yang belum kering darahnya tidak disunatkan berwuduk, malah menjadi haram pula jika dia melakukannya kerana niat sebagai ibadat atau niat ingin menghilangkan hadasnya, sedangkan hadasnya tidak mampu terangkat. Namun berbeza pula bagi wanita yang sudah kering darahnya, maka jika belum mandi lagi, dianjurkan baginya berwudhuk apabila ingin tidur, makan, minum dan berjimak, sepertimana sunnat bagi orang yang berjunub juga.

Rujukan:

Syeikh Sulaiman al-Jamal di dalam Hasyiah al-Jamal (1/486) berkata:

ويُنْدَبُ لِلْجُنُبِ رَجُلًا كَانَ أَوْ امْرَأَةً وَلِلْحَائِضِ بَعْدَ انْقِطَاعِ حَيْضِهَا الْوُضُوْءُ لِنَوْمٍ أَوْ أَكْلٍ أَوْ شَرْبٍ أَوْ جِمَاعٍ أَوْ نَحْوِ
(حاشية الجمل على المنهج)

"Dianjurkan bagi orang yang berjunub (berjimak atau keluar mani) sama ada lelaki atau perempuan, termasuk wanita haidh yakni selepas berhenti darah haidnya, untuk berwudhu, apabila ingin tidur, makan, minum, jima’ dan sebagainya." [Hasyiah al-Jamal]

Imam an-Nawawi di dalam Syarh Sohih Muslim (3/218) berkata:

وَأَمَّا أَصْحَابُنَا فَإِنَّهُمْ مُتَّفِقُونَ عَلَى أَنَّهُ لَا يُسْتَحَبُّ الْوُضُوءُ لِلْحَائِضِ وَالنُّفَسَاءِ لِأَنَّ الْوُضُوءَ لَا يُؤَثِّرُ فِي حَدَثِهِمَا فَإِنْ كَانَتِ الْحَائِضُ قَدِ انْقَطَعَتْ حَيْضَتُهَا صَارَتْ كَالْجُنُبِ وَاللَّهُ أَعْلَمُ
(شرح النووي على مسلم)

"Adapun menurut as'habuna (ulamak Syafi’iyyah kami), mereka sepakat bahawa tidak disunnatkan berwudhuk bagi wanita haidh dan nifas, kerana wudhuk itu tidak akan mampu mengangkatkan hadasnya (sedangkan darahnya masih mengalir). (Namun) jika darah haidhnya telah berhenti (dan dia belum sempat mandi lagi), maka dia (dihukum) seperti orang berjunub." [Syarh Sohih Muslim]

Syeikh al-Ramli di dalam Nihayah al-Muhtaj berkata:

وَمِمَّا يَحْرُمُ عَلَيْهَا الطَّهَارَةُ عَنْ الْحَدَثِ بِقَصْدِ التَّعَبُّدِ مَعَ عِلْمِهَا بِالْحُرْمَةِ لِتَلَاعُبِهَا ، فَإِنْ كَانَ الْمَقْصُوْدُ مِنْهَا النَّظَافَةَ كَأَغْسَالِ الْحَجِّ لَمْ يُمْتَنَعْ

"Diantara perkara yang diharamkan baginya (wanita haidh) adalah bersuci (mandi wajib atau berwudhuk) dari hadas dengan tujuan sebagai ibadat, sedangkan dia mengetahui akan haramnya, kerana ia dianggap mempermainkan ibadah. (Namun) jika tujuan bersuci itu untuk membersihkan dirinya seperti mandi haji, maka perbuatan itu tidak dilarang." [Nihayatul Muhtaj]

Wallahu a'lam

Comments

Popular posts from this blog

HUKUM TIDAK BERTEGUR SAPA MELEBIHI 3 HARI

LUPA NIAT JAMAK

ZIKIR: ALLAHUMMA AJIRNI MANAN-NAAR