JUAL BELI BINATANG

Apakah hukum jual beli kucing, ular dan lain-lain binatang seperti serangga? Bagimana pula dengan duit hasil penjualannya?

Jawapan:

Ia bergantung pada jenis binatang atau haiwan atau serangga tersebut. Jika ia bermanfaat kepada manusia, seperti lebah bagi menghasilkan madu, kucing jinak atau arnab atau ikan bagi peliharaan rumah sebagai hiburan, harimau untuk dijadikan pemburuan, dhob (biawak pasir) bagi pelancaran darah dan sebagainya, maka sah jual beli binatang yang bermanfaat seumpama ini.

Adapun jika binatang itu tiada bawa manfaat atau faedah kepada manusia, seperti kucing hutan (kerana sifatnya yang liar), kumbang, kala jengking, ular, cacing, tikus, semut, anjing, khinzir dan lain-lain yang tidak berfaedah di sisi manusia (malah menimbulkan kerosakan seperti tikus dan khinzir), maka tidak sah jual beli binatang atau serangga seperti ini, dan haram jika masih menjual dan membelinya.

Berkenaan duit hasil penjualan yang tidak sah dan haram, seperti menjual khinzir, tikus, bangkai, kumbang, kala jengking, ular dan lain-lain binatang yang tidak bermanfaat, maka dilihat dulu. Jika keseluruhan duitnya dari sumber yang haram, maka menjual atau membeli barangnya haram, sewa atau meminjam dengannya haram, makan makanannya juga haram dan sebagainya. Adapun jika bukan keseluruhannya dari sumber yang haram, tapi bercampur halal dan haram, maka menjual atau membeli barangnya makruh, sewa atau meminjam dengannya makruh, makan makanannya makruh dan sebagainya.

Rujukan:

Imam an-Nawawi di dalam Raudhoh at-Tholibin (1/422) berkata:

ومنها : أن النبي - صلى الله عليه وسلم - ، نهى عن ثمن الهرة . قال القفال : المراد : الهرة الوحشية ، إذ ليس فيها منفعة استئناس ولا غيره . قلت : مذهبنا : أنه يصح بيع الهرة الأهلية ، نص عليه الشافعي - رضي الله عنه - وغيره

Bahawa Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam melarang (sumber duit) dari hasil penjualan kucing. Berkata al-Qaffal: Yang dimaksudkan (larangan menjual kucing di dalam hadis ini) adalah merujuk kepada kucing liar, kerana (kucing liar) tidak bermanfaat sama ada memberikan hiburan (pada manusia) atau manfaat lainnya. Saya (Imam an-Nawawi) mengatakan : Bagi mazhab kami (al-Syafie), menjual
 kucing perumahan (jinak) adalah sah, ini telah dinaskan sendiri oleh Imam al-Syafi'e dan selainnya." [Raudhoh at-Tholibin]

Imam an-Nawawi di dalam al-Majmu' (9/229) berkata:

ﺑﻴﻊ ﺍﻟﻬﺮﺓ ﺍﻻﻫﻠﻴﺔ ﺟﺎﺋﺰ ﺑﻼ ﺧﻼﻑ ﻋﻨﺪﻧﺎ ﺇﻻ ﻣﺎ ﺣﻜﺎﻩ ﺍﻟﺒﻐﻮﻱ ﻓﻲ ﻛﺘﺎﺑﻪ ﻓﻲ ﺷﺮﺡ ﻣﺨﺘﺼﺮ ﺍﻟﻤﺰﻧﻲ ﻋﻦ ﺍﺑﻦ ﺍﻟﻌﺎﺹ ﺃﻧﻪ ﻗﺎﻝ ﻻ ﻳﺠﻮﺯ ﻭﻫﺬﺍ ﺷﺎﺫ ﺑﺎﻃﻞ ﻣﺮﺩﻭﺩ

"Menjual kucing perumahan (jinak) adalah harus (dibolehkan), pandangan ini tiada khilaf di kalangan kami (Syafi’iyyah), kecuali apa yang dibawakan oleh al-Baghowi di dalam
 kitabnya Syarh Mukhtasor al-Muzani, dari Ibn al-‘As, yang mengatakan bahawa (menjual kucing jinak) tidak diharuskan, namun pandangan ini syaz (ganjil), batil dan ditolak." [al-Majmu' Syarh al-Muhazzab]

Imam an-Nawawi di dalam Syarah Sohih Muslim (5/420) berkata:

ﻓَﺈِﻥْ ﻛَﺎﻥَ ﻣِﻤَّﺎ ﻳَﻨْﻔَﻊ ﻭَﺑَﺎﻋَﻪُ ﺻَﺢَّ ﺍﻟْﺒَﻴْﻊ ، ﻭَﻛَﺎﻥَ ﺛَﻤَﻨﻪ ﺣَﻠَﺎﻟًﺎ ﻫَﺬَﺍ ﻣَﺬْﻫَﺒﻨَﺎ ﻭَﻣَﺬْﻫَﺐ ﺍﻟْﻌُﻠَﻤَﺎﺀ ﻛَﺎﻓَّﺔ ﺇِﻟَّﺎ ﻣَﺎ ﺣَﻜَﻰ ﺍِﺑْﻦ ﺍﻟْﻤُﻨْﺬِﺭ

"Jika ia termasuk (haiwan) yang bermanfaat (atau beri faedah pada manusia), maka menjualnya adalah sah dan duit jualannya juga halal. Inilah pandangan mazhab kami (al-Syafi'e) dan mazhab kesemua ulamak, kecuali (satu pandangan) yang diriwayatkan oleh Ibnul Munzir." [Syarah Sohih Muslim]

= = = = =

Dr.Mustofa al-Bugho/Dr.Mustofa al-Khin/Syeikh Ali al-Syarbaji di dalam al-Fiqh al-Manhaji (6/1299-1300) berkata:

"Tidak sah menjual serangga berbisa atau haiwan yang tidak boleh dimanfaatkan." Pengarang kitab menambah lagi: "Namun demikian, menjual harimau untuk tujuan memburu, gajah untuk tujuan peperangan, monyet untuk tujuan mengawal harta, lebah bertujuan mendapatkan madu dan seumpamanya, ia dibenarkan. Ia dibenarkan atas alasan semua binatang ini ada manfaatnya menurut adat dan dibenarkan oleh syarak." [al-Fiqh al-Manhaji]

Imam an-Nawawi di dalam al-Majmu' (9/286) berkata:

ﺍﻟﺤﻴﻮﺍﻥ ﻣﺎ ﻻ ﻳﻨﺘﻔﻊ ﺑﻪ ﻓﻼ ﻳﺼﺢ ﺑﻴﻌﻪ ﻭﺫﻟﻚ ﻛﺎﻟﺨﻨﺎﻓﺲ ﻭﺍﻟﻌﻘﺎﺭﺏ ﻭﺍﻟﺤﻴﺎﺕ ﻭﺍﻟﺪﻳﺪﺍﻥ ﻭﺍﻟﻔﺄﺭ ﻭﺍﻟﻨﻤﻞ ﻭﺳﺎﺋﺮ ﺍﻟﺤﺸﺮﺍﺕ ﻭﻧﺤﻮﻫﺎ : ﻗﺎﻝ ﺃﺻﺤﺎﺑﻨﺎ ﻭﻻ ﻧﻈﺮ ﺇﻟﻰ ﻣﻨﺎﻓﻌﻬﺎ ﺍﻟﻤﻌﺪﻭﺩﺓ ﻣﻦ ﺧﻮﺍﺻﻬﺎ ﻷﻧﻬﺎ ﻣﻨﺎﻓﻊ ﺗﺎﻓﻬﺔ

"Haiwan yang tidak bermanfaat (atau tidak berfaedah kepada manusia) tidak sah menjualnya, seperti kumbang, kala jengking, ular, cacing, tikus, semut dan serangga lain seumpamanya. Telah berkata as'hab kami (ulamak Syafi'iyyah) : Tidak dilihat ia (haiwan-haiwan ini) sebagai bermanfaat, melainkan (jika ada pun) manfaatnya terlalu kecil." [al-Majmu' Syarh al-Muhazzab]

Syeikh Zakariya al-Ansori di dalam Fathul Wahhab (1/273) berkata:

فلا يصح بيع حشرات لا تنفع وهي صغار دواب الارض كحية وعقرب وفأرة وخنفساء إذ لا نفع فيها يقابل بالمال وإن ذكر لها منافع فى الخواص بخلاف ما ينفع منها كضب لمنفعة أكلها وعلق لمنفعة امتصاص الدم

"Maka tidak sah menjual serangga yang tidak bermanfaat (atau tidak berfaedah pada manusia), yakni binatang yang melata di muka bumi seperti ular, kala jengking, tikus dan kumbang, kerana tiada manfaat padanya sepertimana (manfaatnya) harta, walaupun masih ada manfaat namun hanya secara khusus (bagi binatang tersebut). Berbeza pula binatang yang ada manfaatnya seperti dhob (biawak pasir), yang apabila memakannya akan bermanfaat bagi pelancaran darah." [Fathul Wahhab]

Imam al-Ghozali di dalam Ihya' Ulumuddin (2/65) berkata:

وَيَجُوْزُ بَيْعُ الْهِرَّةِ وَالنَّحِلِ وَبَيْعُ اْلفَهْدِ وَاْلأَسَدِ وَمَا يَصْلُحُ لِصَيِّدِ

"Diharuskan menjual kucing (jinak) dan lebah. Juga menjual harimau bintang dan singa, bagi tujuan pemburuan." [Ihya 'Ulumuddin]

= = = = =

Dr.Mustofa al-Bugho/Dr.Mustofa al-Khin/Syeikh Ali al-Syarbaji di dalam al-Fiqh al-Manhaji (6/1342) berkata:

"Apabila diketahui kesemua harta yang dimiliki seseorang adalah harta (dari sumber) haram, contohnya harta yang diperolehi hasil jualan barangan haram (dan tidak sah) seperti arak, khinzir, bangkai atau anjing, atau pun pendapatannya daripada sumber yang haram seperti loteri atau rasuah atau hasil sewaan barangan yang diharamkan atau sebagainya, maka diharamkan menjual sesuatu atau membeli sesuatu kepadanya. Larangan ini termasuk semua bentuk urusan yang membabitkan individu tersebut seperti sewa, pinjaman atau sebagainya (juga haram). Selain itu, diharamkan makan makanannya."

Pengarang menambah lagi:

"Adapun jika bukan semua harta yang dimilikinya dari sumber yang haram, sebaliknya bercampur halal dan haram, maka segala urusan yang berkaitan individu tersebut seperti yang dinyatakan di atas adalah makruh (yakni menjual atau membeli barangnya makruh, sewa atau meminjam dengannya makruh, makan makanannya makruh)." [al-Fiqh al-Manhaji]

Wallaahu a'lam

Comments

Popular posts from this blog

HUKUM TIDAK BERTEGUR SAPA MELEBIHI 3 HARI

LUPA NIAT JAMAK

ZIKIR: ALLAHUMMA AJIRNI MANAN-NAAR