MEWARNAKAN UBAN

Soalan: Apa hukum mewarnakan uban?

Jawapan: Mewarnakan rambut bagi mereka yang beruban, hukumnya boleh dan dianjurkan, selagi tidak mewarnakannya dengan hitam. Adapun mewarnakannya dengan hitam adalah haram menurut kebanyakan (jumhur) ulamak Syafi'iyyah, ini berdasarkan larangan Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam di dalam hadis. Namun bagi orang yang berjihad di medan perang, mereka dibenarkan mewarnai ubannya dengan hitam.

Adapun jika seseorang itu tidak beruban, dilarang baginya mewarnakan rambut kerana perbuatan tersebut hanyalah semata-mata tasyabbuh (meniru) budaya bukan Islam.

Rujukan:

Imam an-Nawawi di dalam Syarah Sohih Muslim (14/80) berkata:

ومذهبنا استحباب خضاب الشيب للرجل والمرأة بصفرة أو حمرة ، ويحرم خضابه بالسواد على الأصح ، وقيل : يكره كراهة تنزيه ، والمختار التحريم لقوله صلى الله عليه وسلم : ( واجتنبوا السواد ) هذا مذهبنا

"Menurut mazhab kami (mazhab Syafi'e), dianjurkan mewarnai uban, sama ada lelaki dan wanita (yang sudah beruban), dengan (warna) safroh atau hamroh. Dan diharamkan pula mewarnakannya dengan hitam, menurut pendapat yang asoh (kuat). Ada yang berpandangan (mewarnakan hitam) hukumnya makruh tanzih (seperti pendapat Imam al-Ghozali & al-Baghowi). Namun pendapat yang mukhtar (dipilih) adalah haram, ini berlandaskan sabda Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam: ("Jauhilah warna hitam"). Inilah pandangan mazhab kami (jumhur ulamak Syafi'iyyah)." [Syarah Sohih Muslim]

Syeikh Abdul Hamid al-Syarwani di dalam Hasyiah al-Syarwani (9/375) berkata:

وهو بالسواد حرام إلا لمجاهد في الكفار فلا بأس به

"Bahawasanya (mewarnakan uban) dengan hitam adalah haram, kecuali bagi mujahid (di medan perang) menghadapai orang kafir, maka tidak mengapa baginya." [Hasyiah al-Syarwani]

Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

ﻏَﻴِّﺮُﻭﺍ ﻫَﺬَﺍ ﺑِﺸَﻰْﺀٍ ﻭَﺍﺟْﺘَﻨِﺒُﻮﺍ ﺍﻟﺴَّﻮَﺍﺩَ

"Ubahlah ini (uban) dengan sesuatu (warna), dan jauhilah warna hitam." (Riwayat Muslim : 2102)

Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

إِنَّ أَحْسَنَ مَا غَيَّرْتُمْ بِهِ الشَّيْبَ الْحِنَّاءُ وَالْكَتَمُ

"Sesungguhnya (bahan) yang bagus untuk kamu gunakan bagi mewarnai uban adalah al-Hinna' dan al-Katm (inai)." (Riwayat at-Tirmizi : 1753, Abu Daud : 4205, Ibnu Majjah : 3622)

Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

كَانَ خِضَابُنَا مَعَ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْوَرْسَ وَالزَّعْفَرَانَ

“Dulu kami mewarnakan uban bersama-sama Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam dengan al-Waris dan al-Za'faron". (Riwayat Ahmad : 15452)

Wallaahu a'lam bissowab

Comments

Popular posts from this blog

HUKUM TIDAK BERTEGUR SAPA MELEBIHI 3 HARI

LUPA NIAT JAMAK

ZIKIR: ALLAHUMMA AJIRNI MANAN-NAAR