SEDAR PAKAIAN BERNAJIS SELEPAS SOLAT

Jika selepas solat, saya tersedar pakaian saya terdapat najis, adakah perlu saya ulangi solat semula? Tapi sebelum solat, memang saya tidak sedar.

Jawapan:

Apabila selepas solat dia sedar terdapat najis yang tidak dimaafkan pada pakaiannya atau badannya, dan dia yakin najis itu sudah wujud ketika solat dilakukan, maka menurut mazhab Syafi'e solatnya wajib diulangi, ini kerana solat ketika menanggung najis tidaklah sah dan wajib diulangi, walaupun diketahuinya selepas solat.

Sama juga keadaannya jika selepas solat dia menyedari pakaiannya terdapat lubang koyakan sehingga menampakkan auratnya, maka wajib diulangi solatnya kerana tidak sah solat orang yang terbuka aurat walaupun hanya disedari selepas solat.

Walaubagaimanapun, jika dia tidak yakin najis itu atau keterbukaan aurat itu terjadi ketika solat dilakukan, umpamanya dia dapat merasakan boleh jadi najis itu wujud selepas dari solat, kerana sudah berlalu masa yang lama ketika disedarinya, maka dia tidak wajib mengulangi solatnya namun dihukumkan sunnat (dianjurkan) dia mengulanginya.

Rujukan:

Imam Nawawi di dalam Raudhoh at-Tholibin (1/388) berkata:

ولو صلى في سترة ثم علم بعد الفراغ أنه كان فيها خرق تبين منه العورة، وجبت إعادة الصلاة على المذهب، سواء كان علمها ثم نسيها، أم لم يكن علمها، وهو شبيه بمن علم النجاسة بعد الفراغ. ولو احتمل حدوث الخرق بعد السلام فلا إعادة قطعا

"Jika seseorang bersolat dengan berpakaian, kemudian selepas solat dia mengetahui ada koyakan yang menampakkan auratnya, maka wajib baginya mengulangi solatnya menurut pandangan mazhab (Syafi'e), sama ada dia memang mengetahui (koyakan itu) tetapi terlupa, atau dia memang tidak mengetahuinya (maka dua-dua ini wajib diulang). Ini sama juga (hukumnya) jika selepas solat dia mendapati terdapat najis. Namun jika dia merasakan ada kemungkinan (ihtimal) ia terjadi (koyakan atau najis itu wujud) selepas dari salam, maka tidak wajib mengulangi solatnya." [Raudhoh at-Tholibin]

Imam an-Nawawi di dalam al-Majmu' (3/97) berkata:

وَمَذْهَبُنَا أَنَّ إزَالَةَ النَّجَاسَةِ شَرْطٌ فِي صِحَّةِ الصَّلَاةِ فَإِنْ عَلِمَهَا لَمْ تَصِحَّ صَلَاتُهُ بِلَا خِلَافٍ وَإِنْ نَسِيَهَا أَوْ جَهِلَهَا فَالْمَذْهَبُ أَنَّهُ لَا تَصِحُّ صَلَاتُهُ

"Bagi mazhab kami (al-Syafi'e), menghilangkan najis itu adalah syarat sah bagi solat. Maka jika dia mengetahuinya (dirinya menanggung najis), maka tidak sah solatnya, tanpa khilaf. Walaupun kerana dirinya terlupa atau jahil tentang hukumnya, maka menurut mazhab tidak sah solat tersebut." [al-Majmu']

Syeikh Zakariya al-Ansori di dalam Fathul Wahhab berkata:

ولو صلى بنجس غير معفو عنه ( لم يعلمه أو ) علمه ثم ( نسي ) فصلى ثم تذكر ( وجبت الإعادة ) في الوقت أو بعده لتفريطه بترك التطهير وتجب إعادة كل صلة تيقن فعلها مع النجس بخلاف ما احتمل حدوثه بعدها فلا تجب إعادتها لكن تسن كما قاله في المجموع
(فتح الوهاب)

"Jika seseorang solat dengan menanggung najis yang tidak dimaafkan, sama ada dia memang mengetahuinya atau dia mengetahui tetapi terlupa, kemudian dia teringat semula, maka wajib dia mengulangi solatnya di dalam waktunya atau selepas waktunya (jika dia teringat itu selepas habis waktu), ini disebabkan kecuaiannya sendiri dalam bersuci (dari najis). Begitu juga dia wajib mengulangi setiap solat fardhu yang dia yakin dilakukannya dalam keadaan menanggung najis. Tetapi berbeza pula jika diihtimalkan (berkemungkinan) bahawa najis itu wujud selepas dari melakukan solat, maka tidak wajib mengulangi solatnya, namun dihukumkan sunnat (mengulanginya), seperti dinyatakan di dalam al-Majmu’ (Imam an-Nawawi)." [Fathul Wahhab]

Wallahu a'lam

Comments

Popular posts from this blog

HUKUM TIDAK BERTEGUR SAPA MELEBIHI 3 HARI

LUPA NIAT JAMAK

ZIKIR: ALLAHUMMA AJIRNI MANAN-NAAR