Thomakninah & Duduk Istirohah

DUDUK ISTIROHAH

Adakah ianya sunat untuk berhenti sebentar sebelum bangun berdiri dari sujud ke-2. Ianya biasa dilakukan diantara rakaat 1 naik ke rakaat ke-2, dan rakaat 3 naik ke rakaat ke-4. Adakah ia wajib?

Jawapan:

Duduk sebentar itu dinamakan duduk istirohah. Hukumnya sunat dalam mazhab Syafi'e. Caranya ialah, bangun sahaja dari sujud ke-2, sunat duduk sebentar (dalam kadar thomakninah), lalu bangun ke rakaat ke-2, atau disunatkan juga ketika bangun ke rakaat ke-4.

Adapun berhenti sejenak yang wajib itu adalah thomakninah (طمأنينة), bukan duduk istirohah. Thomakninah hukumnya wajib (syarat sah bagi 4 rukun solat), beza dengan duduk istirohah hukumnya sunat.

Wajib thomakninah (berhenti seketika tanpa menggerakkan anggota badan) ketika empat tempat:

1. Rukuk
2. Ikidal
3. Sujud
4. Duduk antara 2 sujud

Wallahu a'lam

==========

Thomakninah (طمأنينة)

Thomakninah ialah syarat sah bagi 4 rukun solat. Tanpa thomakninah tidak sah solatnya. Cara melakukan thomakninah ialah berhenti sejenak tanpa menggerakkan anggota badan (kecuali jari) dalam kadar seperti menyebut "subhanallah" (dalam 2/3 saat). Empat rukun solat itu ialah:

1. Rukuk
2. Iktidal
3. Sujud
4. Duduk antara 2 sujud

Contohnya rukuk. Jika seseorang rukuk dengan laju dan terus bangun (seperti ayam mematuk), tanpa berhenti sejenak pada kedudukan rukuknya, maka tidak sah rukuknya. Wajib berhenti dahulu kadar thomakninah. Namun kebiasaannya jika dia membaca zikir rukuk, maka tempoh zikir itu sudah memadai untuk meluluskan thomakninahnya dan boleh terus bangun sahaja apabila selesai ucap zikir tersebut. Sama juga jika dia membaca zikir ketika sujud dan membaca doa duduk antara 2 sujud.

Cuma segelintir orang kurang peka terhadap thomakninah ketika iktidal. Apabila dia iktidal sambil tangannya dihayunkan, lalu terus turun sujud, maka tidak sah iktidalnya. Jika tidak sah iktidal maka tidak sahlah solatnya. Ini kerana, walaupun badannya sudah berhenti, namun hayunan/gerakan tangannya menyebabkan masih belum lulus thomakninahnya. Maka ketika iktidal, wajiblah berdiri sejenak tanpa menggoyangkan badan atau menggerakkan tangannya dengan kadar thomakninah, selepas itu barulah turun sujud.

Sabit dari hadis bahawa Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam pernah menyuruh seseorang mengulangi solatnya sehingga 3x kerana solatnya tiada thomakninah dan laju dari satu rukun ke satu rukun.

Wallahu a'lam.

Comments

Popular posts from this blog

HUKUM TIDAK BERTEGUR SAPA MELEBIHI 3 HARI

LUPA NIAT JAMAK

ZIKIR: ALLAHUMMA AJIRNI MANAN-NAAR