ADAB JUMAAT (Siri 1)

ADAB JUMAAT (Siri 1)

Imam al-Ghozzali di dalam Bidayatul Hidayah berkata:

"Ketahuilah hari Jumaat adalah hari raya bagi orang mukmin. Ia hari mulia yang dikhususkan oleh Allah bagi umat ini. Pada Jumaat ini ada satu waktu yang mustajab doa bagi hambanya, tidak seiringan waktu itu dengan hajatnya melainkan pasti Allah akan kabulkannya. Bersiaplah dirimu memasuki hari Jumaat dengan dimulakan pada hari Khamis, hendaklah membersihkan pakaianmu, petang Khamis itu banyakkanlah bertasbih (subhanallah) dan istighfar (astaghfirullah), kerana kelebihan pada waktu itu sama seperti hari Jumaat. (Selepas masuk Maghrib) berniatlah untuk puasa (sunat) hari Jumaat, namun perlulah diiringi dengan hari Khamis atau Sabtu, kerana ada tegahan (makruh) mengkhususkan puasa (sunat) pada Jumaat sahaja.

Apabila waktu Subuh, mandilah dengan niat mandi Jumaat kerana ianya sunat muakkad, kemudian (bagi lelaki) berhiaslah dengan pakaian berwarna putih kerana ia pakaian yang lebih dikasihi Allah dan pakailah minyak wangi terbaik yang kamu miliki, dan bersihkan badanmu dengan mencukur (bulu ari-ari, lebihan bulu muka misalnya) dan mengandam (misai misalnya), memotong kuku, bersiwak, dan segala penyucian (atau pembersihan).

Kemudian bersegeralah kamu menuju masjid, dan berjalanlah perlahan-lahan dan penuh ketenangan. Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

"Siapa yang menuju solat Jumaat pada waktu pertama (awal), seumpama dia berqurban seekor unta, siapa yang menuju pada waktu kedua, seumpama dia berqurban seekor lembu betina, siapa yang menuju pada waktu ketiga, seumpama dia berqurban seekor kambing kibash, siapa yang menuju pada waktu keempat, seumpama dia berqurban seekor ayam, siapa yang menuju pada waktu kelima, seumpama dia berqurban sebiji telur. Jika imam telah keluar (untuk naik ke atas mimbar), maka dilipatlah (ditutup) buka catitan, diangkat segala qalam (pena), dan para malaikat berkumpul di mimbar untuk mendengar peringatan (khutbah)."

Disebutkan (satu pendapat) bahawa hampirnya manusia untuk melihat Allah (di akhirat nanti), bergantung pada waktu mereka menuju solat Jumaat."

[Bidayatul Hidayah]

Wallahu a'lam

Comments

Popular posts from this blog

HUKUM TIDAK BERTEGUR SAPA MELEBIHI 3 HARI

LUPA NIAT JAMAK

ZIKIR: ALLAHUMMA AJIRNI MANAN-NAAR