ADAB JUMAAT (Siri 2)

Imam al-Ghozzali di dalam Bidayatul Hidayah berkata:

"Kemudian apabila kamu masuk di masjid, usahalah untuk berada di saf yang awal (pertama). Jika orang sudah ramai, jangan pula kamu melangkahi bahu-bahu mereka, dan janganlah lintas di hadapan mereka yang sedang solat. Duduklah berdekatan dinding atau tiang agar orang lain tidak melintas di hadapanmu.

Dan janganlah kamu duduk sebelum melakukan dahulu solat tahiyyatul masjid dan lebih baik jika dilakukan sebanyak empat rakaat. Dan pada setiap rakaat selepas bacaan al-Fatihah, dibaca surah al-Ikhlas sebanyak 50 kali. Disebutkan dalam satu riwayat (hadis) bahawa: "Siapa yang mengerjakan yang demikian itu, dia tidak meninggal dunia kecuali setelah dia melihat tempatnya di Syurga atau orang lain akan melihatnya". Janganlah kamu meninggalkan solat tahiyyatul masjid (apabila baru masuk) walaupun imam sedang berkhutbah (tetapi secara ringkas sahaja kerana imam telah berkhutbah).

Dan disunatkan kamu solat empat rakaat (sunat mutlak) dengan membaca surah Al-An'am, Al-Kahfi, Thoha dan Yasin. Namun jika tidak mampu, maka bacalah surah Yasin, Ad-Dukhan, (Alif Laam Mim) As-
Sajdah dan Al-Mulk. Dan janganlah kamu meninggalkan bacaan tersebut pada malam Jumaat kerana banyak kelebihannya. Namun jika tidak mampu juga, perbanyakkan membaca surah Al-Ikhlas dan perbanyakkan berselawat ke atas Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam khususnya pada hari tersebut.

Apabila imam telah keluar (yakni naik ke atas mimbar), berhentilah berselawat (atau doa-doa) dan berhenti berkata-kata. Hendaklah kamu beri perhatian untuk menjawab azan, kemudian mendengar khutbah dengan penuh perhatian. Jangan berkata-kata apabila imam sedang berkhutbah. Disebutkan di dalam satu riwayat (hadis) bahawa: "Sesiapa yang berkata kepada kawannya (ketika imam sedang berkhutbah) dengan berkata 'Diamlah Kamu' maka dia telah melakukan perkara lagha (sia-sia), sesiapa yang melakukan lagha tidak akan mendapat kelebihan (pahala) Jumaat baginya". Larangan ini kerana suruhan diam itu sendiri adalah satu kata-kata. Maka sayugialah (sebaiknya) dia menegur dalam bentuk isyarat, tidak dengan berlafaz."

[Bidayatul Hidayah]

wallahu a'lam

Comments

Popular posts from this blog

HUKUM TIDAK BERTEGUR SAPA MELEBIHI 3 HARI

LUPA NIAT JAMAK

ZIKIR: ALLAHUMMA AJIRNI MANAN-NAAR