AIR MUSTAKMAL

Bahagian air yang ke-3 dinamakan air mustakmal, iaitu bekas atau sisa air yang jatuh/terpisah selepas dari basuhan kali pertama (basuhan wajib) yang digunakan untuk bersuci, yakni bersuci bagi:

1. Mengangkat hadas kecil - yakni berwudhu'
2. Mengangkat hadas besar - yakni mandi wajib (kerana berjunub atau haidh atau nifas atau wiladah)
3. Membasuh najis - seperti najis hukmi yang tidak nampak dengan mata kasar

Hukum air mustakmal adalah: "Airnya suci (tidaklah najis) namun tidak sah dibuat bersuci (tidak sah guna untuk wudhu', mandi wajib & basuh najis)."

Contoh terjadi air mustakmal:

1. Kita mengetahui bahawa basuhan kali pertama pada keseluruhan anggota wudhu' pada muka, tangan, kepala & kaki adalah basuhan yang wajib (rukun), manakala basuhan ke-2 dan ke-3 pada angota tersebut adalah sunat, bermakna sisa air yang jatuh/terpisah/menitis selepas dari basuhan kali pertama (basuhan wajib) adalah dihukum air mustakmal.

Adapun titisan air yang jatuh selepas dari basuhan sunat ke-2 dan ke-3 tidaklah dihukum air mustakmal, kerana sisa itu bukan datang dari basuhan yang wajib (kali pertama), maka titisan air tersebut dihukum air mutlak (suci).

Masalah:
Maka, jika berwudhu' untuk basuhan kali pertama pada muka, janganlah diangkat atau dilepaskan tangannya dari muka sebelum diratakan dahulu sekalian had muka, kerana jika dilepaskan, bekas air yang melekat pada tapak tangan akan dihukumkan air mustakmal, ini kerana air yang melekat itu dianggap terpisah ketika basuhan yang wajib. Oleh itu, jika diangkat juga tangannya, dia perlu mengambil semula air mutlak yang baru untuk menyempurnakan baki basuhan yang wajib di mukanya.

Adapun selepas sekalian had anggota wajib itu telah dibasuh, dibolehkan angkat tangannya ketika basuhan sunat ke-2 dan ke-3, kerana air yang berada di tapak tangan selepas itu tetap air mutlak. Sama juga kaedah ini bagi anggota wudhu' yang lain seperti tangan, kepala & kaki.

Bagi anggota telinga, tidak mengapa jika diangkat tangan ketika membasuhnya pada kali pertama, kerana telinga bukanlah anggota yang wajib dibasuh tetapi sunat, maka tidak dihukum mustakmal.

2. Ketika mandi wajib/mandi hadas, kita mengetahui bahawa siraman kali pertama pada keseluruhan anggota adalah wajib. Maka titisan yang terjatuh/terpisah dari badan selepas dari siraman kali pertama dihukum air mustakmal. Adapun selepas dari itu, bekas air dari basuhan sunat kali-2 dan ke-3 tidak lagi dihukum air mustakmal.

Contohnya selepas menyiram bahunya kali pertama, maka apabila disiram bahu untuk kali ke-2 dan ke-3 (sunat diulang hingga 3x), maka titisan air yang jatuh darinya tidak lagi dihukum air mustakmal, tetapi air mutlak.

Masalah:
Tidak sah mandi wajib dengan dimasukkan sekalian badannya di dalam kolam air yang kurang dari 2 qullah (bersamaan 270 liter menurut Dr.Wahbah al-Zuhaili), kerana akan menyebabkan keseluruhan air kolam itu berubah menjadi air mustakmal.

Namun jika isipadu kolam air itu cukup 2 qullah atapun lebih, maka sah mandi wajib di dalamnya kerana air yang banyak (2 qullah dan ke atas) adalah kuat (sabit dari hadis) dan tiada masalah walaupun dimasuki sesuatu najis sekalipun, atau dimasuki sesuatu yang suci (seperti kopi) sekalipun, atau dimasuki air mustakmal sekalipun, kecuali jika berubah salah satu dari 3 sifat (yakni berubah bau atau warna atau rasa), maka barulah tidak sah mandi wajib di dalam kolam tersebut walaupun cukup 2 qullah.

3. Ketika membasuh najis pula, jika sisa air itu telah bercampur dengan 'ain/zat najis dan mengubahkan salah satu dari 3 sifat air (bau atau rasa atau warna), maka sisa itu dihukum air mutanajjis (air yang telah bercampur najis).

Adapun jika sisa/bekas air itu datang dari hasil basuhan najis hukmi (najis pada hukum sahaja tetapi tidak nampak dengan mata kasar, seperti air kencing yang telah kering), dan sisa air itu tidak berubah salah satu dari 3 sifat air (yakni warnanya masih putih, baunya tiada berubah dan rasanya neutral apabila disentuh), maka ia tidak dihukum air mutanajjis tetapi air mustakmal.

Rujukan:
• Matla' al-Badrain
• Fathul Mu'in
• Kifayatul Akhyar

wallahu a'lam

Comments

Popular posts from this blog

HUKUM TIDAK BERTEGUR SAPA MELEBIHI 3 HARI

LUPA NIAT JAMAK

ZIKIR: ALLAHUMMA AJIRNI MANAN-NAAR