HUKUM MELAKUKAN QURBAN

Apakah hukum melakukan qurban? Jika berkemampuan tapi tidak buat, adakah berdosa?

Jawapan:

Jumhur ulamak termasuk mazhab Syafi'e berpendapat hukum berqurban adalah sunat muakkad, yakni sunat yang sangat dituntut bagi berkemampuan. Maka dapat dilihat bahawa hukumnya hampir kepada wajib. Jika sengaja tidak mahu berqurban walaupun mampu, tidak berdosa tetapi makruh hukumnya (Mughni al-Muhtaj). Malah dalam mazhab Hanafi, hukum berqurban adalah wajib bagi yang berkemampuan.

Sabit sebuah hadis tentang orang yang enggan berqurban, Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ سَعَةٌ وَلَمْ يُضَحِّ فَلَا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانَا

"Sesiapa yang mampu tetapi tidak berqurban, maka janganlah dekati tempat solat kami." (Riwayat Ahmad : 16/466)

Bagi sebuah keluarga pula, hukum berqurban adalah sunat kifayah, yakni sunat muakkad bagi salah seorang dari ahli keluarga melakukannya, maka ia sudah memadai. Bermakna jika seorang pun tidak berqurban padahal mereka mampu, makruh pada seluruh ahli keluarganya yang berkemampuan.

Allah subhanahu wa ta'ala berfirman: "Dan bagi setiap umat, Kami syariatkan (ibadat) penyembelihan (qurban), supaya mereka menyebut nama Allah (sebagai tanda syukur) terhadap binatang ternak yang telah direzekikan kepada mereka..." (Surah al-Hajj : 34)

Sedekah paling afdhal adalah dengan berqurban. Berkatnya qurban ini sehingga tiada amalan yang lebih cepat sampai kepada Allah namun darahnya belum jatuh ke tanah melainkan ibadah qurban. Dan asbab darah binatang yang menitis itu, orang yang berqurban akan mendapat keampunan dosa yang lalu oleh Allah.

Antara cara yang boleh dicadangkan, setiap seorang dari ahli keluarga bergilir-gilir melakukan qurban setiap tahun. Contohnya tahun ini giliran ayah, maka ayah berqurban dan meniatkan pahala untuk ahli keluarganya juga. Tahun depan pula, giliran abang sulung  berqurban dan meniatkan pahala untuk ahli keluarganya, dan begitulah seterusnya. Maka pahala berqurban akan berterusan diperolehi setiap tahun bagi setiap ahli keluarga.

Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

مَاعَمِلَ ابْنُ آدَمَ يَوْمَ النَّحْرِ عَمَلاً أَحَبَّ إِلَى الله عَزَّ وَجَلَّ مِنْ إِهْرَاقَةِ دَمٍ. وَإِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَظْلاَفِهَا وَأَشْعَارِهَا. وإِنَّ الدم لَيَقَعُ مِنَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ بِمَكَانٍ، قَبْلَ أَنْ يَقَعَ عَلَى الأَرْضِ. فَطِيبُوا بِهَا نَفْساً

"Tiada amalan anak Adam pada hari raya qurban yang lebih disukai Allah 'Azza wa Jalla berbanding menumpahkan darah (menyembelih binatang qurban). Sesungguhnya binatang qurban itu akan datang di hari qiamat bersama tanduknya, kukunya dan bulunya (sebagai timbangan). Sesungguhnya darah binatang qurban itu (tinggi kedudukannya) di sisi Allah 'Azza wa Jalla pada suatu tempat, sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi (tanah). Maka perelokkanlah qurban kamu." (Riwayat at-Tirmizi)

wallahu a'lam

Comments

Popular posts from this blog

HUKUM TIDAK BERTEGUR SAPA MELEBIHI 3 HARI

LUPA NIAT JAMAK

ZIKIR: ALLAHUMMA AJIRNI MANAN-NAAR