IMAM AL-NAWAWI (Siri 4)

IMAM AL-NAWAWI (Siri 4)

Ditulis oleh Ustaz Salehuddin bin Abu Samah (Dipetik dari Majalah Al-Ustaz, Isu 06)

Membina Keilmuan di Damsyik

Ketika berusia 19 tahun, ayahnya membawa al-Nawawi ke Damsyik. Pada masa itu, kota ini memang kaya dengan ilmu dan ulama. Al-Nawawi segera menumpukan seluruh masa dan kesungguhannya untuk menuntut ilmu. Setiap hari, ia menghadiri 12 pengajian dengan guru yang berbeza dan di tempat yang berjauhan. Beliau juga mengkaji pelbagai bidang ilmu antaranya fiqah, hadis, tafsir, bahasa Arab dan lain-lain. Dek keterangan hatinya, al-Nawawi boleh menghafal kitab al-Tanbih (kitab fiqh yang sangat tebal) hanya dalam masa empat bulan. Begitu juga kitab-kitab penting lain dihafalnya dalam masa yang singkat sahaja. Satu lagi sikap menarik Imam al-Nawawi, beliau enggan menerima pemberian daripada siapa pun. Beliau hanya makan daripada bekalan yang dibawakan ayahnya setiap minggu. Beliau ingin memastikan hanya makanan halal sahaja yang masuk ke dalam tubuhnya.

Pesona Si Penghidup Agama

Tidak beberapa lama kemudian, al-Nawawi mula dikenali oleh masyarakat Damsyik sebagai seorang ulama pewaris Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam. Beliau seorang alim yang penuh dengan ilmu, seorang tokoh agama yang gigih mempertahankan sunnah sekaligus tokoh masyarakat yang membela rakyat bawahan. Semua ini beliau lakukan ikhlas kerana Allah s.w.t. Beliau tidak mengharapkan balasan daripada manusia langsung. Bahkan jika diberi sekalipun beliau selalu menolaknya.

Tajuddin al-Subki berkata: “Imam al-Nawawi pernah mengajar di Darul Hadis al-Asyrafiah dan di tempat-tempat lain. Namun beliau enggan menerima gaji sedikit pun. Beliau juga enggan berpindah dari rumahnya yang terletak di Rawahiah meskipun keadaaan rumahnya itu sangat uzur. Beliau hanya minum sekali sehari sebelum subuh.”

Syeikh Muhammad al-Akhmimi berkata: “Gaya hidup Syeikh al-Nawawi persis kehidupan para sahabat Nabi. Aku tidak pernah melihat orang lain pada masanya
mengikuti cara hidup mereka selain beliau.”

Legasi Imam al-Nawawi

Hidup al-Nawawi sangat singkat namun sarat dengan keberkatan. Jika kita menghitung lembaran buku-buku karangannya lalu dibandingkan dengan hari-hari sepanjang hidupnya, kita akan mendapati lembaran tulisannya ini jauh lebih banyak daripada usianya.

Antara mahakarya beliau: Minhaj al-Tholibin (fiqah), al-Majmu' Syarh al-Muhazzab (fiqah), al-Tibyan fi Adab
Hamalat al-Quran (ilmu al-Quran), Riyadh al-Solihin (hadis), Raudhah al-Tholibin (fiqah), al-Tahqiq (fiqah), al-Azkar (hadis), Syarh Sohih Muslim (syarah hadis), Arbain al-Nawawiyah (hadis 40) & lain-lain.

Pemergian yang Tidak Berganti

Suatu hari Alauddin al-Attar, iaitu salah seorang murid al-Nawawi merasa kehairanan. Bagaimana syeikhnya boleh terbuka hati menerima sebuah kendi pemberian seseorang? Padahal selama ini Syeikh selalu enggan menerima apa-apa pemberian orang. Apabila ditanya, Imam al-Nawawi menjawab: “Kendi ini ialah kelengkapan seorang musafir. Oleh sebab itu, aku menerimanya.”

Beberapa hari kemudian beliau pergi ke Baitulmuqaddis, untuk mengembalikan semua buku yang dipinjamnya, lalu pulang ke Nawa. Tidak lama setelah itu, dunia dikejutkan dengan berita kematiannya.

Imam al-Nawawi wafat pada tanggal 24 Rejab 676 H dalam usia 45 tahun. Beliau dimakamkan di desa kelahirannya (Nawa). Hingga ke hari ini makamnya masih rapi
terpelihara buat generasi kemudian yang ingin mengunjunginya.

Wallahu a'lam

Comments

Popular posts from this blog

HUKUM TIDAK BERTEGUR SAPA MELEBIHI 3 HARI

LUPA NIAT JAMAK

ZIKIR: ALLAHUMMA AJIRNI MANAN-NAAR