KELEBIHAN HARI 'ASYURA (10 MUHARRAM)

KELEBIHAN HARI 'ASYURA (10 MUHARRAM)

Perbanyakkan puasa pada bulan Muharram, sabit dari hadis bahawa puasa yang paling afdhal selepas Ramadhan adalah berpuasa pada bulan Muharram. Dan hari yang terlebih afdhal dalam bulan Muharram tersebut adalah pada hari ke-10 (hari 'Asyura), kerana berpuasa padanya akan dihapuskan dosa selama setahun yang lalu, dengan rahmatNya pada kita yang pendosa ini.

Dan disunatkan pula untuk digabungkan 10 Muharram itu dengan berpuasa sehari sebelumnya (9 Muharram) atau selepasnya (11 Muharram) agar dapat dibezakan puasa tersebut dengan orang Yahudi yang turut berpuasa pada 10 Muharram. Dan lebih utama adalah berpuasa pada 3 hari berturut-turut (9, 10, 11).

Turutan afdhal puasa hari 'Asyura menurut ulamak:

1. Berpuasa 9, 10 dan 11 Muharram
2. Berpuasa 9 & 10 Muharram
3. Berpuasa 10 & 11 Muharram
4. Berpuasa 10 Muharram sahaja

Sebahagian 'ulamak (seperti mazhab Hanafi) mengatakan makruh berpuasa tunggal 10 Muharram sahaja, kerana menyerupai puasa orang Yahudi. Adapun dalam mazhab Syafi'e adalah tidak makruh (tapi sunat digabungkan), berdasarkan nas dari Imam al-Syafi'e di dalam al-Umm & pendapat Syeikh Ibn Hajar al-Haitami di dalam Tuhfatul Muhtaj:

وفي الام: لا بأس أن يفرده

"Di dalam al-Umm : Tidak mengapa menunggalkannya (berpuasa 10 Muharram sahaja)." [Fathul Mu'in]

وعاشوراء لا بأس بإفراده

"(Puasa) 'Asyura tidak mengapa dengan menunggalkannya (berpuasa 10 Muharram sahaja). " [Tuhfatul Muhtaj]

Selain itu, digalakkan juga perbanyakkan amalan pada hari 'Asyura, antara saranan ulamak seperti meluaskan berbelanja kepada ahli keluarga, dan juga kerabat (saudara), bersedekah pada fakir miskin, berakhlak mulia dan hindari perbuatan zolim.

Rujukan:

• Syeikh al-Khatib al-Syarbini di dalam Mughni al-Muhtaj (1/446) berkata:

فإن لم يصم معه تاسوعاء سن أن يصوم معه الحادي عشر بل نص الشافعي في الأم والإملاء على استحباب صوم الثلاثة

"Jika tidak dapat berpuasa hari ke-9 (sehari sebelumnya), maka disunatkan berpuasa pada hari ke-11. Bahkan (Imam) al-Syafi'e di dalam al-Umm dan al-Imla' mengatakan bahawa dianjurkan berpuasa selama 3 hari (9, 10 & 11)." [Mughni al-Muhtaj]

• Syeikh Sulaiman al-Jamal di dalam Hasyiah al-Jamal (4/452) berkata:

ويستحب فيه التوسعة على العيال والأقارب، والتصدق على الفقراء والمساكين من غير تكلف فإن لم يجد شيئاً فليوسع خلقه ويكف عن ظلمه. انتهى

"Mustahab (sunat) padanya (hari 'Asyura) untuk meluaskan berbelanja kepada ahli keluarganya dan kerabat (saudara), dan bersedekah kepada fakir dan miskin, (tetapi) tidak perlu sehingga memaksa diri. Maka jika (dirinya) tiada sesuatu pun (untuk dibelanja atau disedekahkan), maka hendaklah ia meluaskan akhlaknya dan menahan diri dari melakukan kezaliman (pada diri sendiri dan pada manusia lain)." [Hasyiah al-Jamal]

Beberapa hadis yang berkaitan:

1 - Nabi solallahu 'alaihi wa sallam bersabda: "Puasa yang paling afdhal selepas bulan Ramadhan adalah (puasa) di bulan Allah Muharram, dan solat yang paling afdhal selepas solat fardhu adalah solat malam." (Riwayat an-Nasai: 1595)

2 - Nabi solallahu 'alaihi wa sallam bersabda: "Sesiapa yang meluaskan berbelanja kepada ahli keluarganya di hari 'Asyura, maka dia tidak akan terlepas dari kelapangan (rezeki) sepanjang tahun." (Riwayat at-Thobroni: 9868)

3 - Ibnu 'Abbas R.hu berkata: Ketika Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam tiba di Madinah, Baginda mendapati mereka (orang Yahudi) berpuasa pada hari 'Asyura (10 Muharram), dan mereka berkata: "Hari ini adalah hari raya (bagi kami), ia adalah hari Allah menyelamatkan Musa dan tenggelamkan Fir'aun, maka Nabi Musa telah berpuasa atas rasa syukurnya kepada Allah". Lalu Baginda bersabda: "Akulah yang lebih utama (layak) terhadap Musa berbanding mereka (Yahudi)". Maka Baginda pun berpuasa pada hari itu (10 Muharram) dan perintahkan (pada kami) untuk turut berpuasa." (Riwayat al-Bukhari: 3145)

4 - Nabi solallahu 'alaihi wa sallam bersabda: "Puasa pada hari 'Arofah (9 Zulhijjah) aku memohon kepada Allah agar dihapus dosa (dua tahun yakni) setahun yang lalu dan setahun selepasnya. Puasa pada hari 'Asyura (10 Muharram) aku memohon kepada Allah agar dapat dihapus dosa setahun yang lalu." (Riwayat Muslim: 1976)

5 - Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam bersabda: "Berpuasalah pada hari ‘Asyura (10 Muharram), dan berbezalah dengan orang Yahudi (dengan) berpuasa sehari sebelumnya (9 Muharram) atau sehari selepasnya (11 Muharram)." (Riwayat Ahmad: 2155) (Pada riwayat lain: "dan sehari selepasnya")

6 - Nabi solallahu 'alaihi wa sallam bersabda: "Jika tahun depan aku masih hidup, aku akan berpuasa pada hari ke-sembilan (Muharram)." (Riwayat Muslim: 1917)

wallahu a'lam

==========

MATAN HADIS

1 -  َفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلَاةُ اللَّيْلِ

2 - مَنْ وَسَّعَ عَلَى عِيَالِهِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ لَمْ يَزَلْ فِي سَعَةٍ سَائِرَ سَنَتِهِ

3 - أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا قَدِمَ الْمَدِينَةَ وَجَدَهُمْ يَصُومُونَ يَوْمًا يَعْنِي عَاشُورَاءَ فَقَالُوا هَذَا يَوْمٌ عَظِيمٌ وَهُوَ يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ فِيهِ مُوسَى وَأَغْرَقَ آلَ فِرْعَوْنَ فَصَامَ مُوسَى شُكْرًا لِلَّهِ فَقَالَ أَنَا أَوْلَى بِمُوسَى مِنْهُمْ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

4 - يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ

5 - صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ ، وَخَالِفُوا فِيهِ الْيَهُودَ ، صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا أَوْ بَعْدَهُ يَوْمًا
(وفي رواية : ويوما بعده)

6 - لَئِنْ بَقِيتُ إِلَى قَابِلٍ لَأَصُومَنَّ التَّاسِعَ

Comments

Popular posts from this blog

HUKUM TIDAK BERTEGUR SAPA MELEBIHI 3 HARI

LUPA NIAT JAMAK

ZIKIR: ALLAHUMMA AJIRNI MANAN-NAAR