MUAFIQ

MUAFIQ

Saya makmum muafiq. Ketika solat berjemaah, imam baca cepat sangat lalu terus rukuk. Lepas saya selesaikan Fatihah, sy pun rukuk tapi berselisih pula dengan imam (saya turun rukuk, imam naik). Adakah saya perlu tambah satu rakaat lagi sebab berselisih itu.

Jawapan:

Sebelum dibahas, perlu difahami dulu hukum sama ada kita makmum muafiq ataupun masbuq.

Muafiq:

Jika makmum itu muafiq, dia wajib habiskan Fatihahnya walaupun imam telah rukuk, dia dimaafkan ketinggalan dari imamnya sehingga 3 rukun panjang yakni rukuk, sujud pertama dan sujud kedua, ataupun boleh juga mengatakan 5 rukun (rukun panjang + rukun pendek) yakni rukuk, iktidal, sujud pertama, duduk antara 2 sujud dan sujud kedua.

Maksudnya dia diberi masa untuk habiskan al-Fatihahnya sehingga imam sujud kedua. Ketika imam sedang sujud kedua sekalipun, muafiq itu perlu teruskan bacaan Fatihahnya, asalkan imam belum lagi masuk pada rukun ke-4 (yakni sebelum imam berdiri tegak di rakaat seterusnya atau sebelum imam duduk tahiyyat akhir). (lihat Masalah Muafiq Masbuq)

Sekiranya makmum muafiq belum selesai Fatihahnya, namun sengaja dia hentikan bacaan Fatihahnya semata-mata ingin mengikut imam rukuk, maka ketika itu batal solatnya (al-Majmu'). Dihukumkan batal kerana dia telah meninggalkan rukun Fatihah yang diwajibkan baca baginya (makmum muafiq), kerana makmum muafiq perlu menghabiskan bacaan Fatihahnya sehingga selesai (selagi imam belum masuk pada rukun ke-4). Dan muafiq ini berbeza hukumnya berbanding makmum masbuq.

Masbuq:

Adapun bagi makmum masbuq (lewat masuk sembahnyang), apabila imam telah rukuk sedangkan dia belum selesai Fatihahnya, maka perlu serta merta menghentikan bacaan Fatihahnya dan terus sahaja mengikut imamnya sejurus imamnya rukuk, agar dia boleh mendapat rukuk bersama-sama imam, maka ketika itu barulah dia mendapat rakaat tersebut. Namun jika berselisih (yakni imam dah bangkit, masbuq baru sahaja turun rukuk), maka tidak dikira rakaat tersebut bagi makmum, dan perlu tambah lagi 1 rakaat selepas imam salam. (Munyatul Musolli)

Kesimpulannya, kaedah muafiq dan masbuq ini berbeza, hukumnya sepertimana di atas, maka perlulah kita tahu dulu sama ada kita berstatus muafiq atau masbuq, maka barulah boleh amalkan kaedahnya.

Rujukan:
• Masalah Muafiq dan Masbuq (Dato' Hassan Ahmad)
• Munyatul Musolli (Syeikh Daud Fathoni)

wallahu a'lam

Comments

Popular posts from this blog

HUKUM TIDAK BERTEGUR SAPA MELEBIHI 3 HARI

LUPA NIAT JAMAK

ZIKIR: ALLAHUMMA AJIRNI MANAN-NAAR