SEMBELIHAN 2 KALI

Koleksi Q&A Ustaz Alyasak:

Asalam.slmt ari rya haji Ustaz....sy ingin btnya...sekiranya kita melakukan ibadah korban sembelih lembu...lpas penyembelihan tu ada urat pd lembu tu yg xputus dan lembu hidup lg lepas tu melakukan penyembelihan ke dua...ape hukumny...?

Jawapan kami;

Disyaratkan pada setiap sembelihan, urat halkum dan mari' haiwan dipotong dengan sempurna.

Disebutkan dalam Fath al-Muin;

"Ketahuilah, sesungguhnya menyembelih haiwan darat yang dapat dikuasai (bukan haiwan liar) adalah dengan memotong kesemua halkumnya, iaitu tempat keluar nafas (saluran pernafasan) dan kesemua mari'nya, iaitu tempat laluan makanan yang di bawah halkum (saluran makanan) dengan setiap benda yang tajam, yang melukakan selain tulang, gigi dan kuku seperti dengan besi, buluh, kaca, emas dan perak."

Sehubungan itu, jika antara dua sembelihan tersebut tidak diselangi dengan tempoh yang lama iaitu dilakukan dengan kadar segera (tanpa bertangguh-tangguh antara sembelihan pertama dan kedua), maka sembelihan itu halal dimakan.

Namun, jika jarak antara dua sembelihan tersebut diselangi dengan tempoh yang lama, maka diperincikan hukumnya sepertimana berikut:

a) Jika ketika memulakan sembelihan kedua, haiwan masih ada hayat mustaqirrah (hidup yang tetap), maka ia halal dimakan.

b) Jika ketika memulakan sembelihan kedua, haiwan tiada hayat mustaqirrah (hidup yang tetap), maka ia tidak halal dimakan. Hal ini kerana ia telah menjadi bangkai sebelum disembelih.

Maksud hayat mustaqirrah (hidup yang tetap) adalah dengan adanya pergerakan yang berdasarkan kepada kemahuan sendiri (ihtiyariyah) pada haiwan tersebut dengan alamat-alamat dan tanda-tandanya.

Sebahagian ulama menyatakan bahawa ia adalah seandainya haiwan tersebut ditinggalkan, maka ia akan bertahan selama sehari atau dua hari.

Justeru, tanda-tanda adanya hayat mustaqirrah (hidup yang tetap) pada haiwan sembelihan adalah dengan terpancut darah atau bergerak yang kuat ketika ia disembelih. Maka memadai ada salah satu daripada kedua-dua tanda tersebut menurut pendapat yang muktamad.

اليسع
Wallahu a'lam.

Rujukan:

Hasyiah al-Baijuri
Hasyiah I'anah al-Talibin
Tanwir al-Qulub

Koleksi Q&A Ustaz Alyasak
https://t.me/Q_A_Us_Alyasak_channel

Comments

Popular posts from this blog

HUKUM TIDAK BERTEGUR SAPA MELEBIHI 3 HARI

LUPA NIAT JAMAK

ZIKIR: ALLAHUMMA AJIRNI MANAN-NAAR