SILAP WAKTU SOLAT

Apakah hukum seseorang yang menyangka masih waktu Maghrib padahal telah waktu Isyak, lalu dia pun melakukan solat Maghrib dengan niat tunai di belakang imam yang sangkaanya solat Maghrib padahal imam solat Isyak.

Jawapan:

Huraiannya terbahagi kepada 3 pecahan:
1. Hukum niat tunai (ada'an) ketika luar waktunya
2. Hukum imam dan makmum berbeza niat
3. Hukum solat makmum yang kurang dari rakaat imam (imam 4 rakaat & makmum 3 rakaat)

1. Hukum musolli yang niat tunai padahal dia solat di luar waktunya, solatnya sah jika tidak sengaja seperti sangkaannya masih di dalam waktu. Adapun jika sengaja, batal solatnya kerana dianggap bermain-main.

• Syeikh Zainuddin al-Malibari di dalam Fathul Mu'in (1/45) berkata:

 ﻭﺍﻷﺻﺢ ﺻﺤﺔ ﺍﻷﺩﺍﺀ ﺑﻨﻴﺔ ﺍﻟﻘﻀﺎﺀ ﻭﻋﻜﺴﻪ ﺇﻥ ﻋﺬﺭ ﺑﻨﺤﻮ ﻏﻴﻢ، ﻭﺇﻻ ﺑﻄﻠﺖ ﻗﻄﻌﺎ ﻟﺘﻼﻋﺒﻪ.

"Menurut qaul yang asoh (sohih), sah solat tunai tapi diniatkan qadha' atau sebaliknya (solat itu qadha' tapi diniatkan tunai) apabila terdapat keuzuran (tidak sengaja) seperti cuaca mendung (keliru dengan cuaca). Namun jika tiada uzur (yakni dengan sengaja), batal (solatnya) serta merta kerana bermain-main." [Fathul Mu'in]

2. Hukum makmum berbeza niat dengan imam adalah sah kerana tidak syarat makmum dan imam perlu sama niatnya sekalipun berbeza waktu solat fardhu.

• Imam an-Nawawi di dalam al-Majmu' (4/270) berkata:

ﺗﺼﺢ ﺻﻼﺓ ﺍﻟﻨﻔﻞ ﺧﻠﻒ ﺍﻟﻔﺮﺽ ﻭﺍﻟﻔﺮﺽ ﺧﻠﻒ ﺍﻟﻨﻔﻞ، ﻭﺗﺼﺢ ﺻﻼﺓ ﻓﺮﻳﻀﺔ ﺧﻠﻒ ﻓﺮﻳﻀﺔ ﺃﺧﺮﻯ ﺗﻮﺍﻓﻘﻬﺎ ﻓﻲ ﺍﻟﻌﺪﺩ ﻛﻈﻬﺮ ﺧﻠﻒ ﻋﺼﺮ، ﻭﺗﺼﺢ ﻓﺮﻳﻀﺔ ﺧﻠﻒ ﻓﺮﻳﻀﺔ ﺃﻗﺼﺮ ﻣﻨﻬﺎ، ﻭﻛﻞ ﻫﺬﺍ ﺟﺎﺋﺰ ﺑﻼ ﺧﻼﻑ ﻋﻨﺪﻧﺎ

"Sah solat sunat di belakang solat fardhu, dan (sah) solat fardhu di belakang solat sunat. Juga sah solat fardhu di belakang solat fardhu lain yang sama rakaatnya, seperti solat Zohor (4 rakaat) di belakang solat Asar (4 rakaat). Dan sah solat fardhu di belakang solat fardhu lain yang (rakaat imam) lebih pendek dari makmum (seperti Asar di belakang imam yang solat Maghrib). Semua ini diharuskan tanpa ada khilaf disisi kami (ulamak Syafi'iyyah)." [al-Majmu' Syarhul Muhazzab]

3. Hukum solat makmum yang rakaatnya lebih pendek dari imam adalah sah. Maka apabila imam bangkit rakaat ke-4, makmum yang solat Maghrib itu ada dua pilihan, sama ada terus duduk tasyahud akhir dan menunggu hingga imam duduk tasyahud, kemudian baca tasyahud dan salam bersama imam, ataupun pilihan kedua, bila imam bangkit rakaat ke-4, makmum terus niat mufaraqah dan duduk baca tasyahud akhir lalu beri salam secara sendirian. Tetapi menunggu imam itu lebih afdhal.

• Imam an-Nawawi di dalam al-Majmu' (4/270) berkata:

ﻓﻔﺮﻏﺖ ﺻﻼﺓ ﺍﻟﻤﺄﻣﻮﻡ ﻭﻗﺎﻡ ﺍﻹﻣﺎﻡ ﺇﻟﻰ ﻣﺎ ﺑﻘﻲ ﻋﻠﻴﻪ ﻓﺎﻟﻤﺄﻣﻮﻡ ﺑﺎﻟﺨﻴﺎﺭ ﺇﻥ ﺷﺎﺀ ﻓﺎﺭﻗﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﻭﺇﻥ ﺷﺎﺀ ﺍﻧﺘﻈﺮﻩ ﻟﻴﺴﻠﻢ ﻣﻌﻪ ﻭﺍﻷﻓﻀﻞ ﺍﻧﺘﻈﺎﺭﻩ

"Maka apabila selesai solat (rakaat) makmum dan imam pula bangun ke rakaat berikut baginya, makmum boleh memilih, sama ada ingin mufaraqah (teruskan solat sendirian) lalu beri salam, dan (ataupun) menunggu imamnya (dalam tasyahud) lalu beri salam bersama imam. Dan lebih afdhal menunggu imamnya (berbanding mufaraqah)." [al-Majmu' Syarhul Muhazzab]

wallahu a'lam

Comments

Popular posts from this blog

HUKUM TIDAK BERTEGUR SAPA MELEBIHI 3 HARI

LUPA NIAT JAMAK

ZIKIR: ALLAHUMMA AJIRNI MANAN-NAAR