TAKBIR MUQOYYAD & TAKBIR MURSAL

TAKBIR MUQOYYAD & TAKBIR MURSAL

Takbir raya terbahagi kepada 2 keadaan, iaitu takbir muqoyyad dan takbir mursal/mutlak.

• 1. Takbir Muqoyyad : Takbir yang berkait dengan solat, yakni selepas imam beri salam, terus laungkan takbir raya, termasuk juga selepas solat sunat.

• 2. Takbir Mursal/mutlak : Takbir secara bebas, tanpa dihadkan selepas imam beri salam. Selepas imam salam dan selesai berwirid, boleh mulakan takbir raya. Juga disunatkan takbir raya di mana sahaja, kerana waktunya bebas, tidak dihadkan sepertimana takbir muqoyyad.

* Tidak disatukan takbir muqoyyad dan takbir mursal dalam satu masa. Jika tempoh muqoyyad, tiadalah takbir mursal, dan begitulah sebaliknya.

Waktu untuk takbir mursal/mutlak (bebas)

Dinyatakan dalam Bughyatut Thullab karangan Syeikh Daud al-Fathoni, bahawa takbir mursal (bebas) dilaungkan pada malam raya, yakni apabila masuknya maghrib, ini bagi malam aidil adha atau aidil fitri.

Takbir raya ini sunat dilaungkan secara bebas di mana sahaja. Dan waktu tamatnya takbir mursal ini ialah apabila imam mula angkat takbiratul ihram solat raya (raya adha dan raya fitri), maka tamatlah takbir mursal/mutlak (bebas).

Kesimpulannya, takbir mursal ini tidaklah lama, tempohnya bermula malam raya (masuk maghrib) hingga sebelum solat raya pada pagi esoknya.

Berkenaan hadis ini pula, Nabi sollallahu 'alaihi wa salam bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ الْعَمَلُ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ

"Tiada hari yang lebih agung dan lebih dicintai Allah untuk melakukan amalan padanya berbanding sepuluh hari (Zulhijjah) ini. Maka perbanyakkan padanya dengan bertahlil, bertakbir dan bertahmid." (Riwayat Ahmad: 7/224)

Berdasarkan mafhum hadis, disunnahkan kita perbanyakkan zikir 3 kalimah ini bermula 1 Zulhijjah (Laa ilaaha illallah, Allahu akbar dan Alhamdulillah). Cuma ia bukanlah laungan takbir raya walaupun 3 kalimahnya sama, kerana takbir raya sunat dilaungkan beramai-ramai bermula pagi 9 Zulhijjah selepas solat Subuh (takbir muqoyyad). Adapun hadis di atas, kita wiridkannya secara sendirian sahaja bermula 1 Zulhijjah.

Waktu untuk takbir muqoyyad (kait dengan solat)

Pada pagi 9 Zulhijjah, selepas solat Subuh, yakni selepas imam beri salam terus melaungkan takbir raya. Oleh kerana takbir ini dilaungkan sejurus selepas solat, ia dinamakan takbir muqoyyad (yang berkait dengan solat).

Termasuk juga takbir muqoyyad selepas solat Zohor dan Asar (9 Zulhijjah). Ketika tempoh takbir muqoyyad ini, tidak disunatkan melaungkan takbir mursal/mutlak. Selepas takbir pada solat Asar, tamatlah takbir muqoyyad pada 9 Zulhijjah.

Dan apabila masuk sahaja maghrib, maka masuk 10 Zulhijjah yakni malam raya adha, ketika itu bermula takbir mursal/mutlak, sunat dilaungkan takbir raya beramai-ramai di mana sahaja hinggalah pada waktu malam (seperti yang dinyatakan pada bab takbir mursal di atas)

Tamatnya takbir mursal (bebas) selepas imam angkat takbiratul ihram solat raya. Maka apabila imam beri salam solat raya, bermula semula takbir muqoyyad (takbir kait selepas solat), ini termasuk juga selepas solat Zohor, selepas solat Asar dan seterusnya, sehinggalah 13 Zulhijjah. Maka apabila selesainya takbir raya selepas solat Asar pada 13 Zulhijjah, tamatlah takbir muqoyyad dan berakhirlah segala laungan takbir pada aidil adha.

wallahu a'lam

Comments

Popular posts from this blog

HUKUM TIDAK BERTEGUR SAPA MELEBIHI 3 HARI

LUPA NIAT JAMAK

ZIKIR: ALLAHUMMA AJIRNI MANAN-NAAR