TIADA GIGI DAN BERLUKA

BINATANG QURBAN TIADA GIGI DAN BERLUKA

Sahkah binatang qurban yang tiada kesemua giginya dan yang luka pada badannya?

Jawapan:

Berkenaan hilang kesemua gigi, terdapat khilaf dalam mazhab Syafi'e. Ada yang mengatakan tidak sah, dan ada yang mengatakan sah kerana gigi tidak boleh dimakan dan kehilangan gigi juga tidak mengurangkan daging tersebut. Melainkan jika binatang itu terlalu kurus, maka tidak sah dibuat ibadah qurban.

Berkenaan luka pula, jika luka sikit tidak mengapa kerana tidak menjejaskan daging. Adapun jika luka banyak hingga mengurangkan dagingnya, maka tidak sah dibuat qurban.

Berkenaan ciri-ciri kecacatan utama, Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

ﺃَﺭْﺑَﻊٌ ﻟَﺎ ﺗَﺠُﻮﺯُ ﻓِﻲ ﺍَﻟﻀَّﺤَﺎﻳَﺎ : ﺍَﻟْﻌَﻮْﺭَﺍﺀُ ﺍَﻟْﺒَﻴِّﻦُ ﻋَﻮَﺭُﻫَﺎ , ﻭَﺍﻟْﻤَﺮِﻳﻀَﺔُ ﺍَﻟْﺒَﻴِّﻦُ ﻣَﺮَﺿُﻬَﺎ , ﻭَﺍﻟْﻌَﺮْﺟَﺎﺀُ ﺍَﻟْﺒَﻴِّﻦُ ﻇَﻠْﻌُﻬَﺎ ﻭَﺍﻟْﻜَﺴِﻴﺮَﺓُ ﺍَﻟَّﺘِﻲ ﻟَﺎ ﺗُﻨْﻘِﻲ

"Ada empat kecacatan yang tidak boleh dibuat udhiyyah (qurban) : Buta sebelah matanya yang jelas butanya, sakit yang jelas sakitnya, tempang kakinya yang jelas tempangnya (seperti patah kaki), dan sangat kurus sehinggakan tiada tulang sumsum." (Riwayat at-Tirmizi)

Rujukan:

• Syeikh Muhammad al-Fathoni di dalam Matla' al-Badrain berkata:

"Dan memadai (sah) diperbuat udhiyyah (qurban) dengan yang tidak bertanduk dan yang (telah) patahnya (tanduk), dan (sah) yang terbelah telinga dan yang (di) tebuknya (telinga dengan syarat) jika tiada hilang sesuatu pun (bahagian) daripada (telinga)nya, dan (sah) yang tiada berekor (secara semula jadi), dan (sah) tiada berambing (berkantung) susunya dan (sah) yang tiada bergigi, dan (sah) yang patah setengah daripada giginya dan (sah) yang tiada zakarnya." [Matla' al-Badrain]

• Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari di dalam Sabilal Muhtadin berkata:

"Dan tiada memadai (tidak sah) yang tanggal sekalian giginya. Bersalahan (berbeza pula) yang tanggal setengah giginya, maka iaitu memadai (yakni sah dengan syarat) jika tiada mencederakan (mengganggu) ia akan makannya dan tiada mengurangkan dagingnya." [Sabilal Muhtadin]

• Syeikh Muhammad al-Fathoni di dalam Matla' al-Badrain berkata:

"...Dan (tidak sah) yang berkudis jika sedikit sekalipun kerana binasa (rosak) dagingnya, dan (tidak sah) yang baharu beranak (baru melahirkan) kerana jahat (tidak elok) dagingnya, dan (tidak sah) yang sangat kurus..." [Matla' al-Badrain]

wallahu a'lam

Comments

Popular posts from this blog

HUKUM TIDAK BERTEGUR SAPA MELEBIHI 3 HARI

LUPA NIAT JAMAK

ZIKIR: ALLAHUMMA AJIRNI MANAN-NAAR