TARAWIH 8 RAKAAT ATAU 20 RAKAAT

Mana yang lebih terpuji? 8 rakaat atau 20 rakaat?

Sebenarnya...
• 8 rakaat terpuji, 20 rakaat pun terpuji.
• 8 rakaat rajin, 20 rakaat pun rajin.
• 8 rakaat ikut sunnah, 20 rakaat pun ikut sunnah.
• 8 rakaat hidupkan malam Ramadhan, 20 rakaat pun hidupkan malam Ramadhan.
• 8 rakaat diredhai Allah, 20 rakaat pun diredhai Allah.

Kedua-duanya bagus belaka dan terpuji. Tetapi perbezaan dari segi fadhilatnya. Cuba perhatikan, antara solat Dhuha 4 rakaat dan 2 rakaat, yang manakah lebih banyak fadhilatnya? Witir 5 rakaat dan 3 rakaat manakah lebih banyak fadhilatnya? Secara kira-kiranya, buat lebih dapatlah lebih, dan jika buat kurang, kuranglah fadhilatnya. Walaubagaimanapun, orang yang buat sedikit itu tetap mendapat fadhilatnya juga.

Bermakna orang yang buat 10 rakaat itu lebih untung dari yang buat 8, jika buat 12 rakaat itu lebih untung dari yang buat 10, buat 14 rakaat itu lebih untung dari buat 12, maka begitulah seterusnya. Bahkan setiap solat dua rakaat yang kita mampu lakukan sebenarnya satu taufiq dan rahmat besar yang diberikan oleh Allah untuk kita. Kita tidak akan mampu bersujud walaupun sekali di dalam solat tanpa taufiq daripada Allah subhanahu wa ta'ala.

Beberapa hadis tentang kelebihan jika memperbanyakkan solat sunnat dua rakaat:

1 - Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam bersabda: "Tiada sesuatu yang diizinkan Allah yang lebih afdhal bagi seseorang hamba untuk (melakukan) sesuatu (ibadah) berbanding solat dua rakaat yang dilakukannya. Sesungguhnya kebaikan akan dicurahkan dari atas kepalanya (yakni diberi rahmat) selagi dia masih di dalam solatnya." (Riwayat at-Tirmizi : 2911)

2 - Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam berkata kepada Rabi'ah Bin Ka'ab yang bercita-cita mahu bersama Baginda di Syurga, kata Baginda: "Maka bantulah aku untuk dirimu sendiri (yang ingin bersamaku di Syurga) dengan memperbanyakkan sujud (yakni solat)." (Riwayat Muslim : 759)

3 - Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam bersabda: "Solat paling afdhal selepas solat wajib adalah solat di malam hari." (Riwayat Muslim : 2756)

4 - Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam bersabda: "Tidaklah seorang hamba bersujud kepada Allah (dengan) sekali sujud (dalam solat), melainkan Allah akan mengangkat darjatnya dan menghapuskan dosanya." (Riwayat an-Nasai : 1139, at-Tirmizi : 388)

Walau apapun, yang penting wajiblah saling menghormati dan haram merendahkan satu sama lain. Umpamanya yang melakukan 20 itu berkata pada yang melakukan 8 : "Kenapa buat 8 sahaja, seperti malas beribadat. Lakukanlah lebih sedikit sempena Ramadhan ini. Lihat aku melakukan  20." Yang melakukan 8 rakaat juga berkata kepada yang melakukan 20 : "Tidak wajib pun buat 20. Belum tentu Allah terima solat itu. Biarlah sedikit, asalkan berkualiti." Maka binasalah kedua-dua golongan ini. wal'iyazubillah.

Wallahu a'lam

=====================

Matan hadis:

1 - ماأذن الله لعبد فى شىء أفضل من ركعتين يصليهما، وأن البر ليذر على رأس العبد ما دام فى صلا ته

2 - فَأعِنِّي عَلَى نَفْسِكَ بِكَثْرَةِ السُّجُودِ

أفْضَلُ الصَّلاةِ بَعْدَ الصَّلاةِ المَكْتُوبَةِ الصَّلاةُ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ - 3

4 - مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْجُدُ لِلَّهِ سَجْدَةً إِلاَّ رَفَعَهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَةً وَحَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً

Comments

Popular posts from this blog

HUKUM TIDAK BERTEGUR SAPA MELEBIHI 3 HARI

LUPA NIAT JAMAK

ZIKIR: ALLAHUMMA AJIRNI MANAN-NAAR