SOLAT SUNAT KETIKA IMAM SEDANG BERKHUTBAH JUMAAT

Hukum solat sunat ketika khatib sedang berkhutbah, terbahagi kepada 2 keadaan, boleh menjadi sunat dan boleh menjadi haram.

Dihukum sunat:

Apabila baru masuk masjid, disunatkan dia solat sunat Jumaat atau tahiyyatul masjid walaupun imam sedang berkhutbah. Tapi jika dia memilih sunat Jumaat, maka akan dapat fadhilat tahiyyatul masjid juga. Illah disunatkan solat kerana dia baru masuk ke masjid, maka tiada larangan walaupun imam sedang berkhutbah. Dan solat 2 rakaat itu dilakukan secara ringkas sahaja.

Dihukum haram:

Jika sudah lama hadir dalam masjid, sedangkan dia mula solat sunat ketika imam sedang berkhutbah, menurut pendapat muktamad (mazhab Syafi'e) hukumnya haram, kerana yang dituntut solat sunat ketika itu hanyalah mereka yang baru masuk masjid sahaja.

Penyelesaian bagi yang hadir awal:

Bagi yang sudah lama hadir masjid (dianjurkan datang seawal mungkin), dia dibenarkan solat sunat Jumaat selepas dari azan pertama, namun dilarang dia menangguhkan solatnya sekira-kira solatnya belum selesai ketika khatib mulakan khutbah.

Rujukan:

• Syeikh Muhammad al-Fathoni di dalam Matla' al-Badrain berkata:

"Dan mereka yang (baru) masuk ke masjid padahal imam (sedang) membaca khutbah, hendaklah ia sembahyang sunat Jumaat dua rakaat yang ringan keduanya. Maka haram (pula) orang yang sudah (lama) hadir di dalam masjid (dan) lagi tiada sah (solatnya apabila) ia sembahyang sunat atau fardhu tatkala khatib membaca khutbah, sama ada sudah perbuat (solat) sunat itu dahulu (sebelum) daripada (mula) khutbah (namun dia belum habis solat lagi ketika imam berkhutbah) atau belum lagi diperbuat (imam berkhutbah baru dia mulakan solat)." [Matla' al-Badrain]

• Ustaz Alyasak Bin Berhan di dalam artikelnya berkata:

"Menurut Mazhab Syafi’i dan Hanbali, sunat melaksanakan solat tahiyyatul masjid bagi seseorang yang (baru) memasuki masjid padahal imam sedang berkhutbah. Manakala, menurut Mazhab Hanafi dan Maliki, makruh melaksanakan solat tahiyyatul masjid bagi seseorang yang (baru) memasuki masjid padahal imam sedang berkhutbah (al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu). (Tetapi jika) seseorang yang telah sedia hadir dalam masjid sebelum imam menyampaikan khutbah Jumaat, maka menurut pendapat yang muktamad, haram baginya menunaikan solat ketika imam sedang berkhutbah sama ada solat fardhu mahupun solat sunat (al-Baijuri)."

Wallaahu a'lam

Comments

Popular posts from this blog

HUKUM TIDAK BERTEGUR SAPA MELEBIHI 3 HARI

LUPA NIAT JAMAK

ZIKIR: ALLAHUMMA AJIRNI MANAN-NAAR